Saya hampir tidak pernah mendengar nama bukit ini. Atau mungkin sebenarnya
pernah, tetapi tidak terdaftar dalam ingatan. Semenjak saya mula melibatkan diri
dengan aktiviti hiking, nama Bukit Saga sering berkumandang. Letaknya
berhampiran dengan Lembah Kelang (Ampang), dan menjadi tumpuan ramai warga kota
kala cuti hujung minggu.
Ahad 19 Mac 2017, buat pertama kali saya menjejak kaki ke sini. Turut serta
anak-anak saya yang bertiga dan kakak Ijah dan anaknya. Seperti sebelum ini,
kami "menumpang kasih" aktiviti syarikat Pokme kerana mereka lebih berpengalaman
dengan aktiviti di hutan. Ini penting, di hutan lain adatnya. Tak boleh
sembarangan, sebab itu perlu ada orang yang lebih berpengalaman.
Ini rentetan peristiwa kami pada hari tersebut.
7.30 am | Sarapan Pagi
Berkumpul untuk sarapan pagi di Jalan Melur, berhampiran Taman Saga. Isi perut
itu wajib ya kawan, untuk aktiviti lasak sebegini. Biar ada tenaga. Seeloknya
biar ada karbohidrat dan protein. Sempat juga kami dapatkan bekalan air dan
gula-gula di 7-11 berhampiran.
8.40 am | Flat Taman Saga
Berkumpul di tapak permulaan. Tanda kawasannya mudah, ada sebuah blok apartment
warna putih yang sangat jelas dilihat dari jauh. Saya kongsikan lokasinya di
bawah.
Flat Taman Saga
Menuju ke tapak permulaan Trail B
Saya dimaklumkan ada beberapa pilihan trek untuk mendaki bukit ini. Hari itu
kami memilih Trail B, katanya lebih "mencabar" berbanding Trail A.
Itu saya tak tahu.
9.00 am | Trail B
Selepas melakukan senaman meregangkan badan, kami beransur memulakan perjalanan.
Tidak sampai 10 minit, trek sudah mula mendaki. Laluan hanya muat untuk satu
orang dalam satu-satu masa dan jika ada pertembungan, salah satu pihak perlu
berhenti dahulu. Kebanyakan laluan betul-betul di tepi lereng bukit dan gaung di
sebelah agak curam dan dalam. Mujur ada tali yang disediakan hampir sepanjang
sisi pendakian.
Mendaki tanpa henti untuk 30-40 minit pertama
Rehat dulu
Entah kenapa, kali ini saya benar-benar penat. Tidak sampai setengah jam saya
sudah terasa letih, peluh mencurah-curah mengalir. Saya semakin jauh
ditinggalkan anak-anak dan kali ini, saya di belakang sekali!
Aduh! Apa silapnya?
Penangan Saga tak boleh dibuat main, oi!
9.50 am | Bukit Saga Hilltop
Kami tiba di Bukit Saga Hilltop lebih kurang selepas 50 minit. Saya antara yang
paling belakang. Ada 2-3 orang dari kumpulan kami sudah berpatah balik, kerana
letih dan tidak mampu meneruskan perjalanan. Ya, Bukit Saga rasanya tak sesuai
untuk "cuba-cuba". Perlu ada persediaan fizikal dan mental.
Di check-point ini kawasannya agak luas, dan meriah dengan pendaki hujung
minggu dan mungkin juga warga Taman Saga dan sekitar. Kemudahan rehat dan
senaman disediakan di sini. Kami berehat agak lama menunggu ahli kumpulan yang
lain, dan saya berkesempatan mengumpul tenaga.
Sampai awal
Power!
Sekitar Hilltop Bukit Saga, Ampang
My Nieces
My Precious
10.30 am | Menuju Ke Air Terjun
Setelah berehat (yang agak lama), kami teruskan perjalanan ke air terjun. Ahli
kumpulan semakin berkurangan tetapi anak-anak saya semuanya masih bersemangat.
Setakat ini, masing-masing masih kekal bertenaga.
Dari Hilltop ke air terjun, lebih banyak laluan menurun yang boleh dikatakan
hampir semuanya agak curam. Perlu ada kekuatan kaki (dan lutut) untuk menampung
badan. Sesetengah laluan yang berlecak juga memberi cabaran tambahan.
Siap sedia ke air terjun
Pemandangan menarik sepanjang laluan
Tunggu giliran untuk turun
Laluan yang agak curam dan licin
Waktu ini saya sudah kembali mendapat rentak. Mungkin sudah mendapat rehat yang
cukup sebentar tadi. Difikir-fikir, mungkin saya letih kerana sarapan pagi yang
belum dihadam penuh ketika saya memulakan trekking. Agaknyalah.
Pemandangan dalam hutan sentiasa memukau. Saya sangat suka dengan pemandangan
cahaya matahari yang tersebar ke lantai hutan, menembusi halangan daun-daun yang
menjulai tinggi. Warna hijau yang berbelang-belang antara muda dan tua, sangat
cantik. Memang mengkhayalkan. Saya tidak pasti nama tumbuhan ini, sejenis pokok
palma barangkali. Sepanjang laluan di Bukit Saga akan banyak kelihatan pokok
seperti daun nipah ini. Ada yang kata itu pokok rumbia. Wallahualam.
Daun Rumbia
12.00 pm | Air Terjun Bukit Saga
Kami sampai ke kawasan air terjun yang sudah meriah dengan kumpulan-kumpulan
pendaki yang lain. Ada yang sudah pun kuyup berendam, ada yang mencari tapak,
ada yang sudah siap memasak maggie dan air teh. Kami ke sudut yang agak jauh
dari air terjun dan berehat melepaskan lelah.
Anak-anak?
Sekejap saja tahu-tahu sudah ada di bawah air terjun! Ehehe!
Tak apa lah. Memang saya suka anak-anak ikut aktiviti sebegini. Air
terjun/sungai selalunya menjadi "upah". Saya mahu selalu ada aktiviti
anak-beranak sebegini. Selain saya mahu mencipta memori bersama anak-anak semasa
mereka masih kecil, saya juga mahu hubungan mereka adik-beradik tetap utuh.
Kalau diikutkan, akan ada satu fasa anak-anak lebih rapat dengan kawan di
sekolah berbanding keluarga sendiri. Itu yang saya bimbangkan. Saya mahu mereka
kekal bersahabat sesama adik-beradik.
Ambil giliran turun menggunakan tali
Air Terjun Bukit Saga
Dan melihat mereka tergedik-gedik menahan kesejukan air terjun Bukit Saga,
memang mengundang senyum. Masalahnya, sudah kecut lisut begitu selagi tak
disuruh berhenti takkan mahu lah mereka berhenti. Haih! Kalau sudah jumpa air
sungai/terjun, beginilah jadinya.
Puas berehat, puas berendam. Masa untuk balik.
1.00 pm | Pulang ke pangkal jalan
Kami mengambil keputusan untuk menggunakan laluan berbeza untuk balik. Katanya,
laluan ini lebih mudah berbanding dengan laluan datang tadi.
Yup! Memang mudah. Hanya 20 minit yang pertama perlu mendaki agak tinggi,
kemudian jalan mula mendatar. Cuma perlu berhati-hati kerana sangat banyak
simpang jalan yang ada. Kami betul-betul ikut tanda "dua garis merah" pada
pokok-pokok sepanjang laluan. Kadang-kadang ada juga papan tanda yang digantung
pada pokok. Berpandukan tanda-tanda ini, perjalanan agak mudah. Kalau tidak,
kebarangkalian untuk sesat agak tinggi kerana terlalu banyak simpang denai yang
ada.
Dari air terjun, terus mendaki tinggi
Laluan balik banyak simpang siur. Ikut tanda cat merah di pokok sebagai
panduan.
Berhenti di simpang menunggu ahli kumpulan. Silap laluan, boleh sampai
ke Cheras.
R&R Bukit Saga
3.00 pm | Mendarat
Alhamdulillah. Walaupun sedikit risau melihatkan awan yang sangat gelap dan
berat sekeliling Bukit Saga, kami sampai ke kereta dalam keadaan yang masih
kering. Hanya selepas 10 minit memandu, hujan turun dengan sangat lebat berserta
kilat. Memang sangat lega dan bersyukur kerana bukan lagi berada di atas
bukit.
Seram oi!
Gambar Kumpulan
Bukit Saga secara keseluruhannya tidak begitu senang, dan tidak juga begitu
susah. Stamina perlu ada. Persediaan mental dan fizikal juga wajib. Jangan
terikut-ikut, teruja tanpa hala.
Yang penting juga, jagalah alam. Sebagaimana alam berkhidmat kepada manusia
tanpa jemu.
Semua artikel, gambar, video dan halaman di blog ini adalah milik penulis (kecuali jika dinyatakan sebaliknya). Sebarang penerbitan semula apa-apa bahan daripada blog ini adalah dilarang kecuali mendapat keizinan bertulis daripada penulis.
All articles, pictures, videos and pages in this blog are owned by the author (unless otherwise stated). Any reproduction of the materials by any party are strictly forbidden unless with written consent by the author.
1 Comments
Terima kasih atas perkongsian Tuan.. Panduan mudah untuk beginner macam saya
ReplyDelete