Bagaimana Mahu Mengendalikan Rasa Marah?

"Sepanjang awak bekerja 18 tahun ini, ada tak peristiwa yang betul-betul buat awak marah? Dan, bagaimana awak mengendalikan marah awak tu?"

Saya kelu.

Soalan yang ditanya oleh wanita bertudung warna krim itu tidak saya jangka. Saya sangka, soalan-soalan peringkat awal tadi sudah saya jawab dengan baik, namun tiga orang penemuduga di hadapan saya itu seperti mahu menolak saya terperosok ke sudut bilik dengan soalan yang tak terfikir.

Marah.

Saya akui, saya bukanlah orang yang pandai mengendalikan marah. Apabila hati sudah mendidih, saya memilih untuk memendam perasaan. Jarang sekali saya luahkan, walaupun sesama yang tersayang. Pernah, satu ketika saya terlepas kemarahan yang membuak dan saya sangat tidak suka dengan akibatnya.

Kerana apabila terluah, saya menjadi sangat jahat.

Kata-kata yang terucap, boleh menjadi racun berbisa. Saya sakit, dia terluka. Tidak ada baiknya. Masa untuk memulihkan, terlalu lama.

Sekarang, saya lebih memilih untuk tidak bertindak balas serta merta.

Senyap.

Kalau saya marah ketika berdiri, saya duduk. Jika tidak hilang lagi, saya berbaring. Itukan saranan yang diunjurkan nabi.

Saya tidak mahu membalas masa itu, kerana saya yakin yang bakal dilafazkan lebih dipengaruhi emosi. Tidak rasional.

Setelah tenang, barulah saya kembali memikirkan.

"Di mana silap saya" lebih utama untuk dirungkaikan, berbanding "di mana silap dia".

Istighfar. Istighfar. Istighfar.

Move forward. Cari penyelesaian yang memuaskan hati, daripada sibuk menyakitkan hati mencari punca kemarahan. Tak boleh dibuat apa lagi perkara yang sudah berlalu. Namun kita boleh berfikir langkah apa yang mahu diambil.

Nabi SAW juga pernah bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Maksudnya: Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah. (Rujukan; AL-KAFI #877: NASIHAT DAN TIPS UNTUK MENGAWAL KEMARAHAN)

Itulah yang saya cuba amalkan semenjak usia semakin bertambah.

Saya memilih untuk lebih tenang.

Bagaimana Mahu Mengendalikan Rasa Marah?

Jadi, berbalik pada soalan temuduga di atas, apakah jawapan saya?

"Satu hari, rakan sekerja saya membuat keputusan tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu. Akibatnya, saya perlu menjawab pada pihak atasan kerana tindakan beliau tidak selari dengan persetujuan awal."

"Kemudian?"

"Saya mengamuk dan menjerit di dalam pejabat yang punya lebih kurang 10 pasang mata."

"Apa tindakan awak pada rakan awak itu?"

"Tidak ada apa-apa. Saya keluar dari pejabat kemudian pergi makan tengah hari."

Penemudga wanita bertudung krim itu yang kelihatan teruja pada awalnya, kembali merapatkan bandar bersandar di kerusi.

Dia, saya fikir, mahukan seorang Pengurus Projek yang garang, "pandai" marah dan mendesak.

Jawapan yang saya beri, anti-klimak.

Terdengar dengusan kecil daripada dia.

Saya tahu, dengusan itu sudah memberi jawapan kepada sesi temuduga saya hari itu.

"Awak terlalu baik untuk saya."

Kah kah kah!



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #4 : Apa yang anda buat apabila marah?






Reactions

Post a Comment

0 Comments