[Ulasan Filem] K.D (Karuppu Dorai)

Lucu. Bahagia. Hiba. Kembara. Kasih sayang. Sepanjang menonton filem ini, saya tersenyum, tertawa dan ada babak yang akhirnya menitiskan air mata.

1.
KD seorang datuk (berusia 80 tahun) sudah terbaring koma selama tiga bulan. Anaknya 5 orang, dan pada suatu malam mereka berbincang untuk mengakhiri semua ini dengan ritual yang dinamakan Thalaikoothal.

2.
Thalaikoothal ini adalah satu ritual yang menamatkan riwayat orang tua (senicide) oleh ahli keluarga sendiri! Amalan ini diamalkan di bahagian selatan India, di beberapa kawasan Tamil Nadu.

3.
Caranya pelbagai. Pada waktu pagi "calon" akan dilumur dan dimandikan dengan minyak, kemudian disuruh minum air kelapa yang banyak (untuk tujuan merosakkan buah pinggang). Calon akan demam panas, melarat sehingga membawa maut pada hari kedua atau ketiga. Atau, ada juga cara dengan memaksa calon minum susu lembu sambil ditutup hidung (supaya lemas).

4.
Ritual ini berlaku dengan persetujuan semua ahli keluarga dan saudara mara. Malahan, ada juga kes yang berlaku atas permintaan calon itu sendiri.

5.
KD (secara ajaibnya) bangkit dari koma dan terdengar perancangan anak-anak beliau. Terluka, KD melarikan diri malam itu juga. Ok, yang ni je macam tak masuk akal. Bangun koma selepas 3 bulan, terus larikan diri. Sihat walafiat. Heh!

6.
KD menumpang di sebuah kuil, yang kemudiannya bertemu musuh baru seorang budak lelaki berusia 8 tahun. Kutty, yang yatim piatu adalah anak buangan di kuil ini selepas lahir. Kutty bijak, lancang, berani, sesuai dengan kehidupannya yang penuh cabaran.

7.
Permusuhan mereka berdua kemudian bertukar menjadi persahabatan selepas kedua-duanya tersingkir dari kuil. Maka bermulah pengembaraan hidup mereka di jalanan.

8.
Kutty yang semakin hari semakin mesra, membantu menyenaraikan impian yang mahu dicapai oleh KD. Mereka berjaya menyenaraikan 9 impian, tetapi buntu mencari yang ke-10.

9.
Lalu mereka pun memulakan pengembaraan. Bahagia, boi. Bahagia. Kemesraan keduanya (walaupun Kutty masih bermulut lancang) semakin erat, saling melengkapi kesepian hidup masing-masing.

10.
Impian KD tidaklah besar. Salah satunya, mahu makan nasi beriyani!Kutty ada memperlecehkannya, tapi dijawab mudah oleh KD (lebih kurang) ; "I am a simple person, and I want to live simple life."

11.
Cantik. KD tahu dan sedar diri. Dia hanya mahu menikmati hidup dengan rasa bahagia. Dan impiannya adalah sesuatu yang boleh dicapai dan tidak mustahil. Sama, kan? Kita tanpa sedar bercita-cita terlalu besar, tak mustahil untuk dicapai. Namun, kita gagal untuk menjustifikasikan apa perlunya impian sebegitu.

12.
Impian KD mahu bertemu kekasih lamanya adalah sesuatu yang comel. Hahahah! Saya ketawa besar melihat adegan ini, dan tersipu-sipu juga.

13.
Selepas selesai 9 impian terlaksana, akhirnya KD menemukan apa impian yang ke-10. Untuk Kutty. Aduh! Sedar-sedar, sudah berjurai air mata.

14.
Perpisahan, memang sudah dijangka akan terjadi. Kutty, ke tempat yang lebih baik. KD, pulang ke rumah untuk menyerah diri!

15.
Tontonlah untuk tahu kesudahannya. Di Netflix.

16.
Filem ini tidak ada tarian satu kampung seperti selalu. Masih ada nyanyian, dan ambillah kesempatan untuk baca liriknya. Cantik.

17.
Selesai menonton, saya pun mahu menyenaraikan impian yang saya mahu lakukan untuk menikmati kehidupan yang dianugerahkan. Mungkin, mulakan dengan yang mudah saja. Seperti makan laksa buatan tangan Cik Milah. 😘

Selamat menonton.


Karuppu Dorai Sumber gambar; IMDB





Reactions

Post a Comment

0 Comments