Daripada Angan-angan Kepada Impian, Kemudian Menjadi Azam Nekad Untuk Menunaikan Haji

Saya sudah lama memendam rasa mahu menunaikan haji. Yalah, siapa yang tidak? Cuma entah kenapa kebelakangan ini rasa rindu itu menikam-nikam, sampaikan air mata mudah benar tumpah hanya melihat video-video di tanah haram daripada perkongsian ramai.

Pada detik rakan-rakan berkongsi kisah mereka mendapat panggilan, saya sendiri menjadi teruja. 

Dengki? Tidak. 

Cemburu? Sedikit.

Bukannya saya tak pernah sampai ke tanah suci itu. Sudah dua kali direzekikan ke Mekah menunaikan umrah. Pertama kali bersama sang isteri tersayang, kali kedua mencabar diri pergi berdua dengan seorang sahabat, tanpa menggunakan khidmat mana-mana agensi.

Masya-Allah.

Maka, kenapa? Kenapa saya masih mendesak benar-benar mahu ke sana? 

Saya diam memikirkan, kenapa ya?

Fikir. Tenung.


Tabung

Saya teringat pada satu hari sekitar tahun 1983 dahulu, pihak TH datang ke sekolah kami dan membuat promosi pembukaan akaun. Setiap pendaftaran akan dihadiahkan tabung yang berbentuk sama seperti bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

Saya teruja mahukan tabung itu.

Tahu-tahu saya berjaya memaksa abah untuk membuka akaun, entah untuk saya atau abah, dan akhirnya tabung itu menjadi milik saya. Itu yang utama.

Tabung Haji

Masa berlalu, dan tabung itu pegun di sela almari menjadi hiasan tanpa ada lagi rasa teruja pada seorang Sharulnizam.

Remaja menginjak.

Dewasa menyambut.

Alam pekerjaan memberikan saya kemewahan memiliki wang sendiri. Menyimpan sebahagian kecil gaji pada permulaan hanya untuk membeli kereta dan persediaan perkahwinan. Itu sahaja.

Selepas berkahwin, selepas memiliki Proton Wira Sedan berwarna maroon, wang gaji habis begitu sahaja setiap bulan.

Sehinggalah satu hari sang suri berkongsi pandangan dan mencadangkan. Lakukan sedikit perubahan tentang perancangan kewangan.

Saya kemudian membuat potongan gaji untuk disimpan terus ke dalam akaun Tabung Haji. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, wang simpanan bertambah. Keluar masuk memang selalu, tapi tak pernah gagal untuk terus menyimpan.

Sehinggalah usia menjejak angka yang ke-40.

Rasa ingin menunaikan haji itu semakin jelas dan bertukar menadi azam, bukan lagi angan-angan.

Giliran yang ditetapkan pada tahun 2032, sangat jauh dirasakan. Kalau mengikut aturan, umur kami waktu itu sudah menghampiri usia pencen. Entah-entah sudah pun bercucu.

Hati mula bertanya-tanya, masih kuatkah waktu itu?

Patutkah kita merayu, untuk pergi lebih awal? Di kala tenaga masih ada, di kala usia masih ‘muda’.

Kami sepakat.

Kursus asas haji, kami hadiri hampir setiap tahun.  Mujur dekat saja di Masjid Al-Syaqirin, Gombak. Walaupun tak banyak perbezaan topik yang diajar saban tahun, tetaplah kami setia mendengar.

Pinggang sakit juga bersila dari pagi sampai ke tengah hari.

Bermula tahun 2023, kami nekad dan bersungguh-sungguh membuat rayuan haji. Apatah lagi semuanya boleh dilakukan secara dalam talian (melalui aplikasi THiJARI), memang memudahkan.

Wang simpanan, Alhamdulillah sudah cukup. Sekalipun ditawarkan pakej T20 muassasah (RM33,000 pada waktu ini), kami yakin kami mampu. Memang kami sasarkan simpanan mengikut harga T20 kerana sudah maklum jika dapat tawaran haji melalui kategori rayuan, itulah harga yang kami perlu bayar.

Rayuan 2023, gagal. Menunggu sehingga ke penghujung Syawal 1445H, tidak ada tawaran datang daripada Tabung Haji. Bukan giliran kami.

Pasrah.

2024, kami merayu lagi. Juga gagal.

1 Zulkaedah 1446H itu, saya hanya mampu tersenyum-senyum di hadapan skrin telefon, melihat pelepasan demi pelepasan Duyufurrahman di lapangan terbang.

Yang Maha Mendengar, bila pula hamba-Mu yang hina ini akan dijemput?

3 November 2025, sekali lagi rayuan kami kemukakan. 

Berserta doa dan tawakal. Solat sunat hajat, di kala sempat.

Merayu selepas solat.

Panggillah aku ke Mekah, Ya Rahman!







Reactions

Post a Comment

0 Comments