Rindu Baitullah, Sebuah Rindu Yang Tak Terungkap

Meriah.

Movenpick di Sepang sana pasti gegak-gempita dengan para duyufurrahman yang berhimpun untuk terbang ke tanah suci. Anak-anak menghantar ibu dan ayah, suami menghantar isteri, isteri menghantar suami. Ada tawa, tapi lebih banyak air mata yang tumpah.

Keluarga bakal berpisah untuk satu tempoh yang panjang. 40 hari, 46 hari. Cuma mujur zaman ini teknologi sudah dapat mendekatkan yang jauh. Terpisah hanya fizikal, namun suara dan wajah masih boleh didengar dan ditatap melalui peranti kecil bernama telefon.

Di platfom media sosial, meriah dengan video bakal haji dan hajah yang mendapat panggilan ke baitullah. Menonton klip-klip rakaman jemaah haji dari serata dunia, membuatkan rasa rindu kembali melimpah memenuhi hati.

Rindu, ya, rindu.

Ia bukan sekadar rindu di bibir. Bukan hanya rindu pada melihat Kaabah, bukan hanya rindu pemandangan jemaah yang memenuhi dataran masjid, dipayungi redup bayang menara jam Abraj Al Bait yang menjulang tinggi. Bukan juga hanya rindu pada cuaca yang panas dan kering, namun mendadak jatuh suhunya pada waktu malam. Bukan hanya rindu itu semata-mata.

Rindu itu lebih mendalam. Lebih mengesankan. Adakala sampai terasa renyuk di hati melayan perasaan.

Saya sedar, rindu itu bukan semata-mata pada lantainya, dindingnya. Ia adalah suatu rindu kepada suasana. Rindukan pada perasaan. 

Begitu kah?

Di sana, kita tanpa sedar 'melupakan' hal-hal dunia. Niatnya satu, benar-benar mahu tenggelam dalam keinsafan melaksanakan ibadah. Mencari pahala sebanyak mungkin. Bertaubat, muhasabah kekurangan amalan. Fokus diri bukan lagi pada dunia kerja, bukan lagi hal nafsu nafsi, walaupun kadangkala masih tersasar dengan godaan media sosial. 

Saya ingin bebas. Bebas daripada hambatan dunia yang selalunya menjerat erat ketika di tanah air. Di sana, tak ada lagi desakan untuk berpura-pura, tak ada lagi perlumbaan yang menyakitkan jiwa. 

Itulah sebenarnya yang saya rindu, kawan. Bumi Mekah dan Madinah, ada penawarnya. Ketenangan itulah yang ingin saya bawa pulang. Walaupun sukar. Walaupun sering gagal. Entah jatuh tercicir ke mana sebaik saja tayar kapal terbang menyentuh lantai KLIA.

Lemah.

Maka itulah yang membuatkan saya kembali merindu. Dan saya tetap berdoa, agar Allah mengizinkan saya, Cik Milah dan anak-anak, untuk ke sana berkali-kali lagi. Supaya saya dapat 'melupakan dunia'. Dan bermuhasabah tentang kealpaan saya yang sia-sia.

Entahlah. Mungkin rakan-rakan yang pernah ke sana, faham apa yang saya maksudkan. Dan mungkin ada di kalangan kita, yang masih belum pernah menjejak kaki ke Baitullah, rindunya juga membuak-buak. 

Berdoalah.

Semoga Allah mengizinkan kita semua kembali ke tanah suci kota Mekah dan Madinah, bukan hanya sebagai pelawat, tetapi sebagai hamba yang ingin kembali kepada-Nya.

Amin 

Rindu Baitullah, Sebuah Rindu Yang Tak Terungkap






Reactions

Post a Comment

0 Comments