[Ulasan Filem] Mucize (The Miracle)

"Kerana aku telah jatuh cinta!"

1
Saya ternampak perkongsian seorang rakan FB tentang filem Turki yang bertajuk Mucize. Dan untung sekali, filem ini ada di Netflix!

2
Saya menonton filem tak kira bahasa, asalkan ada sari kata. Filem yang bagus adalah filem yang boleh difahami tak kira bangsa. Dan ini adalah kali pertama saya menonton filem dari Turki. Aduh! Lebih kurang setahun yang lalu, waktu begini saya sedang kelam-kabut membuat persiapan mahu ke Istanbul. Memang kebetulan.

3
Filem dimulakan dengan pergaduhan suami isteri di dalam sebuah rumah di tengah kota Turki. Rupanya si suami, Mahir Ögretmen, seorang guru dihantar untuk mengajar jauh di kawasan pedalaman dan ditentang keras oleh isterinya. Mereka (isteri) adalah orang ada-ada, jadi perpindahan ini tentulah tidak menyenangkan.

4
Sudah tentu, Mahir tetap dengan keputusannya. Bermulalah perjalanan jauh merentas daerah-daerah yang jauh entah di pelusuk mana. Oh, Mahir ke sana tanpa keluarga.

5
Allahu! Pemandangannya indah banget. Sungai yang biru, gunung-ganang yang tinggi dengan kopiah salji dan kehidupan di kawasan pergunungan yang damai. Katanya lokasi penggambaran filem ini di Izmir, bahagian Turki di tanah Asia. Okay, sekarang Izmir dalam "wish list" travel saya.

6
Mahir disambut dengan penuh kejutan. Sebaik tiba di kampung, berpuluh-puluh pucuk senapang diarahkan kepada beliau. Setelah diterangkan tujuan kedatangan, Mahir disambut mesra. Cuma Mahir sekali lagi terkejut bila dimaklumkan di kampung atas gunung itu, tidak ada bangunan sekolah!

7
Mahir hampir pulang semula ke kota, namun atas timbang rasa dan pengharapan orang kampung, Mahir kembali dengan semangat yang berkobar. Sekolah pun berjaya didirikan, dengan modal sendiri tanpa bantuan kerajaan. Hmmm.. tanpa bantuan kerajaan? Mainstream sangat bunyinya, kan?

8
Di sini Mahir berkenalan dengan orang kampung, terutamanya keluarga "Tok Penghulu", Bozat. Waktu ini, fokus mula beralih kepada kehidupan di kampung dan adat budayanya. Watak Aziz juga mula menonjol, anak Bozat yang cacat menghadapi kesukaran untuk bertutur namun faham apa yang diperkatakan padanya untuk menjalani kehidupan harian. Sahabat Aziz hanyalah seekor kuda hitam yang menemankan ke mana saja dia pergi.

9
Adat perkahwinan masyarakat di sini memang unik. Apabila ada anak lelaki yang sudah sampai "tempoh matang" dan layak berkahwin, rombongan para ibu akan keluar ke kampung yang berhampiran untuk mencari bakal menantu. Bakal pengantin lelaki akan memaklumkan kriteria pasangan yang dimahukan, seperti gigi yang cantik, mata yang biru, pinggang yang ramping dan macam-macam lagi. Walhal, diri sendiri bukanlah menarik pun.

10
Para ibu (rombongan lelaki) akan berbincang dengan golongan ibu pengantin perempuan. Ujian akan dibuat seperti berikut; bau nafas, kelancaran membaca/menghafal Al-Quran, kepandaian memasak, dan kemampuan untuk berjalan lurus di atas tali yang direntangkan. Kalau lulus, luluslah.

11
Sehingga setakat ini, unsur-unsur komedi masih banyak namun berundur seketika apabila watak Aziz yang cacat diketengahkan. Sering dibuli kanak-kanak lain, guru Mahir memutuskan untuk membawa Aziz belajar bersama-sama di dalam sekolah yang baru dibina.

12
Sedikit demi sedikit Aziz menunjukkan perkembangan dengan dorongan Mahir. Aziz sudah mampu menulis dan lebih "jinak" berbanding kehidupan yang agak terbiar bebas sebelum ini.

13
Satu hari ayah Aziz, Bozat, telah menyelamatkan seorang tua daripada dibunuh. Atas dasar rasa terhutang budi dan nyawa, tuan Isa menawarkan anak perempuan beliau untuk dikahwinkan dengan anak Bozat sekiranya masih ada yang masih bujang. Bozat mengatakan, hanya ada Aziz yang cacat. Tuan Isa terus sahaja setuju.

14
Aziz akhirnya berkahwin dengan Mizgin, gadis yang sempurna serba-serbi. Namun hari demi hari, kehidupan pasangan ini penuh tekanan disebabkan cemuhan orang sekeliling. Suatu hari, kedua-duanya pun pergi meninggalkan kampung tanpa ada berita lagi.

15
Guru Mahir juga sudah selesai melaksanakan tugasnya dan kembali pulang ke kota. Perpisahan demi perpisahan berlaku, dan babak ini memang melukakan.

16
Pejam celik pejam celik, tujuh tahun berlalu. Guru Mahir datang ke kampung yang kini sudah pun ada laluan kenderaan. Bozat semakin renta dan mebilang-bilang cucu. Kunjungan Mahir membawa kejutan yang lebih istimewa; Aziz dan Mizgin bersama dua anak mereka.

17
Aziz tidak lagi sama seperti Aziz tujuh tahun yang lepas. Apabila disoal ayahnya, bagaimana dia boleh berubah? Adakah Aziz menjalani pembedahan? Jawapan Aziz mudah, namun memberi makna yang sangat besar. "Kerana aku telah jatuh cinta!" Aduh!

18
Filem ini berunsurkan drama, komedi dan kasih sayang. Saya paling suka melihat hubungan adik-beradik Aziz (anak Bozat) yang saling menjaga antara satu sama lain, terutamanya Aziz. Hubungan kekeluargaan sangat mesra dan saling menghormati, dan Bozat beruntung dikelililingi keluarga begitu.

19
Asalnya saya menganggap filem ini tentang perjuangan Mahir, namun secara perlahan-lahan watak Aziz mengambil peranan utama. Sesuatu yang baru (bagi saya), tapi pengolahan jalan cerita tidak membuatkannya kekok. Watak-watak lain juga membantu baik menghidupkan cerita.

20
Filem ini, filem dari Turki yang pertama menjadi tontonan saya dan membuatkan saya mahu menonton lagi filem dari negara ini. Kalaulah setiap filemnya menayangkan setiap daerah bumi Turki yang cantik, nampak  gaya senarai travel saya hanya akan dipenuhi dengan nama Turki sajalah!

Jom!

Kita pergi Izmir.



Sumber gambar; https://busy.org/






Reactions

Post a Comment

0 Comments