Sudah hampir dua bulan anak muda berdua ini mula berkampung di situ, demi
  menggalas tugas sebagai guru baru di Sekolah Kebangsaan Kurung Hitam. Tanpa
  ada rasa ragu, kedua-duanya menerima saja penempatan ke bahagian timur negeri
  Jelapang Padi sewaktu mendapat surat tawaran, dan di sinilah mereka berdua
  berkenalan. Kemudian mereka berpakat mencari rumah sewa dan melalui
  cakap-cakap orang, dapatlah mereka rumah kampung berhampiran sawah padi ini.
  Untuk kadar sewa RM150 sebulan, tak dapatlah mereka berdua banyak "bunyi"
  dengan setiap kekurangan yang ada pada rumah itu.
  Lagipun rumah masih dalam keadaan yang baik, asbab kerajinan Tok Chah Juling
  yang rajin menebas dan mengemas. Rumah Tok Chah Juling pun bukan jauh, dari
  pintu dapur rumah panggung itu boleh nampak bumbung rumah Tok Chah.
  Cuma yang paling Zaki dan Andy kurang berkenan, bilik mandi yang terletak di
  luar rumah. Tidak berbumbung dan hanya dipagar dengan daun rumbia. Air paip
  hanya ada di dalam rumah, tetapi tidak di bilik air. Mahu atau tidak, tidak
  kira pagi atau petang, air perigilah yang menjadi air siraman untuk
  membersihkan badan.
  Zaki berbaring di dalam bilik sementara menunggu giliran mandi. Dari tingkap,
  hari semakin gelap walaupun Maghrib hanya akan muncul sekitar satu jam lagi.
  Bunyi angin petang yang berlaga dengan dedaun pokok buah-buah kayu di keliling
  rumah membuai perasaan, sehingga mata Zaki mula merapat tertidur.
"Zaki, mandi! Hari macam nak hujan, lekas sikit!"
Andy kembali ke bilik di sebelah selepas mengejutkan Zaki.
  Zaki bingkas bangun lalu menyangkut tuala di bahu. Perlahan-lahan, Zaki
  menuruni tangga dapur menuju ke pintu untuk ke bilik air di luar rumah.
Keletak! Kecebush!
  Ada bunyi benda terjatuh ke dalam perigi. Ah! Ini mesti Andy letakkan timba
  air di atas perigi. Ditolak angin, habis jatuh ke dalam perigi yang dalam.
Woossshhh! 
Kecerrr... keceeerr!
  Zaki menghentikan langkah. Ada bunyi lagi di dalam bilik air. Bunyi apa tu?
  Antara berani dengan takut, antara debar dan rasa mahu tahu, Zaki menolak daun
  pintu perlahan-lahan. Diintainya sedikit, tak ada apa-apa. Kemudian dihulurkan
  kaki kiri mahu melangkah masuk, dan dengan pantas ditolak luas pintu bilik air
  yang diperbuat daripada zink itu.
Zaki kelu.
  Ada dua biji mata di balik dinding membalas pandangan Zaki. Tubuhnya
  terlindung, tapi Zaki tahu bandannya semua berwarna hitam.
Kaki Zaki bagai terpasung ke bumi. Dia betul-betul kaget. 
  "Orang Minyak! Orang Minyak! Andyyyyyy... tolong aku! Ada Orang Minyak!"
  Serentak Zaki memeluk tubuhnya, tanda tak sanggup diperapa-apakan. Dia hanya
  mampu menjerit, tapi buntu mahu bertindak. 
  Empunya dua biji mata yang bulat itu keluar dari balik perigi. Zaki memandang
  dengan tubuh yang menggigil, mengharapkan Andy segera muncul membantu. Tapi
  Zaki tak lepas memandang lembaga di hadapannya, yang semakin menunjukkan wajah
  sebenar.
Eh!
Ini bukan orang minyak.
Biawak?
Hmmmm.. biawak mana ada kepak?
Eh, takkan lah?
Naga?
Biar betul?
Naga di dalam bilik mandi?
  Zaki terpinga-pinga. Mulutnya menganga sedikit saja lagi seluas timba perigi. Ya. Di depannya ada seekor naga. Berwarna hitam keseluruhan badan,
  dan berkepak. Saiznya sebesar biawak Varanus salvator, yang banyak berkeliaran di kebun kelapa
  di belakang sekolah mereka.
  Akhirnya Andy tiba, dengan lampu suluh di tangan. Melihat Zaki tegak kaku di pintu bilik
  air, Andy turut mengintai ke dalam. Suluhan lampunya tepat ke wajah naga yang
  turut kaku di balik dinding perigi.
Jeda.
Hanya ada bunyi angin senja yang mengisi suasana.
Bukkk!
  Buah kelapa tua di hujung dapur jatuh memecah sunyi. Zaki tekejut, Andy
  melatah lagu Salam Aidilfitri. Naga hitam terus mengembangkan sayap, mahu terbang.
  "Maaf ya, saya tumpang minum tadi. Dah lama saya tak datang, tak sangka rumah ini
  sudah ada penghuni.  Lain kali kalau saya singgah, saya bagi salam dulu."
"Saya balik dulu, ya? Oh! Nama saya Rompong."
Wooosshhhh!
Naga hitam bernama Rompong yang pandai berkata-kata itu, terbang menjauhi bilik mandi, hilang di balik balam-balam bukit yang semakin hilang ditelan gelap.
Andy masih melatah, lagu Awallah Dondang.
Zaki masih memeluk tubuh seperti sewaktu kali bertentang mata dengan naga tadi. Cuma kali ini semakin erat.
Sumber gambar; https://something-everything-nothing.tumblr.com/
*****
Ikuti cabaran blog "Blog Challenge 2020" yang dikelolakan oleh Norsa'adah Ahmad.
Ikuti cabaran blog "Blog Challenge 2020" yang dikelolakan oleh Norsa'adah Ahmad.
Entri ini ialah tajuk keenam -  Naga di tab mandian (There’s a dragon in the bathtub)


2 Comments
Hahaha! So awesome!
ReplyDeleteMasih belajar lagi ni. Tunggu Kak Emila tulis lagi, nak "curi" idea. 😅
Delete