Semangkuk Laksa Di Kampung Padang Balai

Saya memandang Rizal. Dia tenang, tak sekelumit pun nampak riak wajah cemas, seperti saya. Anak muda dari Salor, Kelantan tu bersila bersahaja menghadapi hidangan di hadapan mata.

Kepala yang tak gatal, saya garu.

Petang itu, petang yang pertama di rumah keluarga angkat kami di Kampung Padang Balai, Kuala Nerang. Rizal ialah "adik-beradik" saya untuk satu keluarga yang sama. Kami menyertai program anak angkat anjuran kolej dengan kerjasama penduduk tempatan. Majlis penyerahan anak angkat berlangsung di Masjid Kampung Tengah, tak jauh dari rumah keluarga kami.

Rumah kampung dua bilik yang bercampur batu dan papan sebagai dinding, menjadikan hawa petang itu agak nyaman. Lantai simen yang dilapik dengan tikar getah, sudah terkoyak di merata bahagian. Kipas berdiri yang sudah kelihatan uzur, setia menggeleng kiri dan kanan berkhidmat menambah selesa.

Saya menoleh ke kiri. Tingkap nako terbuka luas, ada berpasang-pasang mata kecil mengintai dari luar. Anak-anak Padang Balai entah teruja entah pelik dengan kehadiran kami berdua. Kami jadi superstar hari tu.

Tak.

Sikit pun tak terbit rasa kurang selesa dengan keadaan begitu. Suasana dan rumah mak abah saya di Gombak pun sama juga pada satu ketika. Malah, hampir semua saudara mara kami pun begitu. Sikit pun tak kekok.

Cuma, yang dihidang di depan kami ini yang menjadi "masalah".

Semangkuk Laksa Di Kampung Padang Balai
Semangkuk Laksa Di Kampung Padang Balai


"Jemputlah makan. Rizal, Sharul makan laksa tak?"

Mak angkat saya menyuakan semangkuk laksa setiap seorang. Rizal mengangguk laju, katanya tak ada masalah.

Saya?

Tak pernah sekali pun saya makan laksa sebelum hari tu. Jumpa memang selalu, malah saya juga ditugaskan membeli laksa untuk mak kalau di rumah. 

Pada malam-malam tertentu, akan ada abang menjual laksa menggunakan motor di kawasan rumah kami. Pon pon pon, bunyi hon menandakan dia sudah sampai. Saya turun ke tepi jalan, membuat pesanan dan memerhatikan abang penjual laksa menyediakan bahan. Dengan ditemankan lampu yang rupanya seperti pelita, dia lincah memotong bawang, daun selom, limau nipis, telur dan terakhir sekali cedokan kuah yang panas di dalam tong di belakang motor.

Inilah yang mematikan selera saya pada laksa. Kuah yang berbau ikan sangat kuat, entah ikan kembung atau ikan sardin. Saya pada waktu itu tak boleh menerima ikan yang dihancurkan menjadi kuah.

"Makanlah, Sharul. Nak tambah ada lagi ni."

Ayah angkat pula menjemput. Saya senyum, dan perlahan-lahan menarik mangkuk laksa rapat dengan sila. Rizal sudah mula menghirup kuah, dan laju menyuap satu persatu mi yang putih berkilat.

Aduh!

Nak menolak, tak sanggup. Tak beradab jadinya kalau saya katakan saya tak makan laksa. Lagi-lagi, saya bukannya ada alahan. Hanya semata-mata tak lalu dengan kuah ikan. Lagipun susah terlambat, hidangan sudah di depan mata.

Sudu dan garpu sudah di tangan.

Bismillah.

Suapan pertama, masuk.

Sualan kedua, lidah cuba bersatu dengan rasa.

Suapan ketiga, gabungan mi, bawang dan telur bergumpal di dalam mulut.

Entah berapa suap seterusnya, mi di dalam mangkuk sudah hilang tak nampak bayang.

Burrpppp!

Alhamdulillah. 

Hari itu menjadi saksi, itulah laksa pertama yang saya makan dan tidak pernah ada penyesalan sehingga hari ini.

Laksa is in my blood, katanya.

Kah kah kah! 

Terima kasih untuk mak dan ayah angkat yang "memperkenalkan" laksa petang itu.

Hari ini, sebut saja laksa negeri mana yang saya belum cuba? Mai semangkuk, kita telan macam anaconda.

Tapi boleh lawan ke laksa paling sedap di dunia, yang dibuat oleh Cik Milah saya?

Semangkuk Laksa Di Kampung Padang Balai
Keluarga angkat tempat saya menumpang kasih sepanjang belajar di KMKN dan UUM. Kunjungan terakhir pada tahun 2017.






Reactions

Post a Comment

0 Comments