[Ulasan Buku] Tulang-tulang Berserakan (oleh Usman Awang)

1.
Untuk tahun 2021, saya bersyukur "diperkenalkan" dengan buku ini dan direzekikan untuk memiliki senaskah menjadi koleksi peribadi.

2.
Buku Tulang-tulang Berserakan tulisan Usman Awang milik saya ini, terbitan tahun 1973 lengkap dengan gambar-gambar yang menggambarkan suasana ketika itu. Walaupun kurang jelas, tapi cukup membantu "imaginasi" pembaca.

3.
Buku ini bercerita tentang kehidupan polis selepas zaman pendudukan Jepun, bermula selepas tamat latihan di Depot (Johor) sehinggalah ditugaskan di Melaka.

4.
Ada pelbagai cerita daripada watak-watak dalam buku ini. Kisah kehidupan, kisah percintaan anak muda, kisah perjuangan, kisah peperangan. Berwarna-warni. Semuanya digarap dengan baik dan cantik.

5.
Beberapa muka surat membaca buku ini, saya sudah jatuh hati. Saya sangat suka dengan lenggok bahasanya. Dialognya mudah, tapi penuh adab dan sopan. Saya terbayang cara percakapan dalam filem Melayu zaman hitam-putih mahupun antara 70-80an.

6.
Ada ulasan yang saya baca mengatakan watak Leman adalah berdasarkan kisah penulis sendiri. Leman nampak yang paling matang antara watak-watak polis muda yang ada. Mahmud, happy-go-lucky. Majid, romantis. Ujang, lucu. Wak Stop, mendamaikan. Koperal Haris, tegas.

7.
Saya suka dengan penceritaan yang menyelitkan pengajaran tanpa perlu memberitahunya. Isi tersirat. Semangat nasionalisme nya ada, mahu memperjuangkan tanah air dan mahu berdiri atas kemampuan diri sendiri.

8.
Walaupun berperang dengan musuh negara komunis, penulis melalui watak Leman dan Mahmud membuatkan kita sama-sama berfikir dan akur bahawa setiap pihak yang bersengketa yakin perjuangan mereka benar. Satu mempertahankan keruntuhan, satu lagi menegakkan keyakinan.

9.
Ah, Majid. Watak romantis yang manis. Namun pengakhiran yang tragis membikin air mata luruh tanpa sedar. Kau tahu kan, akan ada di kalangan rakan sekeliling yang kita selesa dan mesra, yang baik-baik, tapi malang menimpa dan kita turut terkesan dengan kejadian itu. Empati.

10.
Dan kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang sekeliling, tanpa kita rela tetap akan memberi kesan kepada pemikiran. Memikir baik buruknya, Leman mencari jalan lain untuk meneruskan hidup.

Puas, boi.

Sangat puas membaca buku ini. Strategi saya membaca sedikit demi sedikit untuk menikmati bait tulisan ini memang berbaloi. Saran saya, jangan gelojoh mahu segera menghabiskan pembacaan.








Reactions

Post a Comment

0 Comments