Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor

Kami berpakat mahu ke pantai, mahu berkelah sekeluarga. Ye lah, Selangor sudah "bebas", tak ada lagi sekatan antara daerah. Jadi pagi tadi (Ahad, 19 September 2021), kami memandu dengan penuh riang ria menuju ke Pantai Remis.

Entah berapa buah pondok tol kami tempuh dari Gombak sampai ke Kelang. Entah berapa lubang jalan kami terjah sebelum sampai ke destinasi.  Tak kisah semua tu, asal kami sekeluarga boleh bergembira di tepi pantai yang indah.

Cukup sejam memandu, kami pun sampai.

Selamat datang ke Pantai Remis.

Aik!

Kenapa pantainya berbenteng? Dari simpang masuk, kami tak nampak pun pantai melainkan bongkah-bongkah batu yang tinggi menghalang pandangan. Saya fikir, itu mesti penghalang hakisan atau pemecah ombak.

Kami parkirkan kereta di ruangan yang disediakan.

Belum seminit sampai, sudah ada pemandangan yang menyakitkan hati. Sampah bersepah-sepah! Kotor! Saya langkau dengan hati merungut-rungut, kemudian memanjat bongkah batu benteng pantai.

Kecewanya!

Tak ada pantai dengan pasir putih yang jernih. Air laut pun surut nun jauh ke tengah. Yang tinggal, hanyalah pantai berselut dan berlumpur. Dan sampah!

Hafiz paling kecewa. Sudab berangan-angan dari semalam mahu melompat bersilat dengan ombak. Tak berputus asa, kami pun sepakat mahu ke pantai sebelah, Pantai Jeram.

Sama!

Air surut, pantai berlumpur dan berselut, dan sampah yang bersepah di sepanjang pantai.


Pantai Jeram

Memang ini bukan pertama kali saya ke Pantai Jeram. Tapi sebelum ini, hanya setakat ke Aroma Ikan Bakar untuk menjamu selera. Tak pernah pun terfikir untuk mandi laut. Manalah saya tahu keadaannya begitu. Rupanya pantai ini pantai paya bakau, memanglah lumrahnya berselut. Bukan pantai untuk mandi-manda.

Alang-alang sudah sampai, kami bentangkan jugalah tikar untuk menjamu selera dengan bekalan nasi lemak. Duduklah kami enam beranak entah di celah pokok mana, menikmati sarapan sambil diiringi angin pantai yang sunyi serta air laut yang jauh entah ke mana.

Adoi!

Pengajaran besar untuk kami.

Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor


Alala

Selesai makan, sempat juga kami berjalan di tepi pantai mencari cengkerang siput yang bersepah-sepah. Dari jauh, kami nampak beberapa orang tempatan menolak papan seperti perahu kecil di atas selut, dan mengorek-ngorek tanah mengutip sesuatu. Saya fikir, mestilah sejenis siput atau kerang. 

"Apa benda namanya ni, bang?"

Saya menegur abang berbaju merah yang kelihatan peramah.

"Alala. Kalau Lala besar lagi, yang kecil ni kami panggil Alala."

"Oh, mentarang tak ada ke?"

Saya teringat mentarang yang banyak dijual di sepanjang jalan di Kuala Selangor. Pernah juga singgah dan makan, tapi terkeluar balik. Huu.. tak lalu!

"Yang itu 'anak dara'. Banyak kat sana. Tak taulah kenapa orang panggil anak dara. Kalau orang panggil janda, kita pun sebut janda lah juga."

Abang baju merah berseloroh, sambil jari telunjuk runcing mengarah ke bahagian selatan pantai, tempat orang mencari "anak dara".

Saya anggukkan saja, kemudian minta izin untuk mengambil beberapa keping gambar dan video.

Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor
Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor


Sekurang-kurangnya, ada juga sesuatu untuk dibuat kenangan di Pantai Jeram ni. Kami pun pulang dengan harapan mahu mencari sawah padi untuk bergambar, yang terjumpa hanyalah ladang kelapa sawit.

Hafiz sudah menggerutu dalam kereta, katanya mahu mandi juga. Kami pun ubah rancangan, mahu pulang ke Gombak saja mandi di Alang Sedayu di Batu 12. Atau kalau disebut Sungai Pisang, ramailah tahu di mana.

Selepas memandu jauh dari Kuala Selangor ke Gombak, rupanya Alang Sedayu ditutup daripada kunjungan orang ramai. Gara-gara kes manusia yang tak faham bahasa berkerumun tanpa SOP di Air Terjun Sungai Pisang baru-baru ni.

Haih!

Serba tak menjadi hari ni!

Pagi Yang Suram Di Pantai Jeram, Selangor








Reactions

Post a Comment

2 Comments