27 Februari 2022.
Pesta buku di Pasar Seni.
Dari stesen LRT Gombak, saya turun di stesen Masjid Jamek, kemudian berjalan kaki mengikut sisi sungai Gombak yang bergabung dengan Sungai Kelang. Tak sampai 600 meter, saya sampai di pintu belakang Central Market.
Melangkah masuk, nostalgia tahun 90-an pun menggamit.
Dari segi susun atur, tak banyak berbeza. Sama saja sewaktu kali akhir saya ke sini. Perbezaan yang ketara ialah suasana sudah tak meriah seperti dulu. Banyak kedai yang tak beroperasi. Kedai buku terpakai yang pernah saya kunjungi pun dah tak nampak. Atau mungkin masih ada tapi tak beroperasi hari tu.
Tingkat atas saya tak pergi, sebab mahu terus merayau ke reruai buku di bahagian luar. Dari hujung ke hujung, sudah ada bumbung yang melindungi laluan kaki lima. Saya mencari 'McDonald', tapi terlindung di balik pentas utama. Aduh, terbayang-bayang satu ketika dulu saya menunggu kawan-kawan di situ kalau mahu berpeleseran. Perhentian terakhir bas mini 14 yang berwarna merah hati betul-betul di situ.
Selesai membeli buku, saya berjalan menuju ke GMBB untuk ke galeri Kak Emi. Sengaja saya berjalan kaki untuk melihat sendiri lokasi-lokasi yang tak asing satu ketika dulu. Plaza Kotaraya, Petaling Street dan Puduraya.
Kenangan.
0 Comments