Dari Kampung Sangkir Ke Tamu (Pasar) Kota Belud

"Betul ke jalan ni?"

"Aku memang ikut Google Map je ni."

Kami menjadi kurang pasti pagi tu, mencari jalan ke destinasi persinggahan sebelum menuju Kota Kinabalu. Kami selesai checkout dari hotel Dedsaaan Beach Village seawal jam 7.00 pagi, kerana mahu mencari Kampung Sangkir yang sering disebut wajib singgah kalau sampai ke Kota Belud.

Apa ada di situ?

Ada sawah padi yang luas, dan ada Gunung Kinabalu menjadi latar. Dan untuk melihat gunung ini, perlu tepat mengurus masa kerana pada bila-bila masa awan akan menutup pemandangan.

"Betul lah ni. Tu, dah nampak dah tu! Boleh lah cari tempat berhenti."

Akhirnya Kinabalu memunculkan diri, dengan hamparan sawah padi yang menghijau seperti permaidani merah ke majlis gemilang. 

Tanda isyarat untuk berhenti diberi. Kami bertiga melangkah keluar dari kereta, kemudian segak berdiri di tengah-tengah jalan, di kelilingi sawah padi, berlatarkan gunung tertinggi di Asia Tenggara, di sebuah daerah yang bernama Kampung Sangkir.

Indah nian, boi.

Kalau orang di Yan, Kedah tahu agaknya apa yang saya lihat. Di negeri jelapang padi itu pun ada pemandangan yang hampir sama. Sawah padi luas terbentang dan ada Gunung Jerai megah berdiri di belakang.

Hampir sama.

Masa mencemburui untuk kami berlama-lama. Hanya gambar dan video kami bawa sebagai kenangan.

Kampung Sangkir, Kota Belud
Kampung Sangkir, Kota Belud
Kampung Sangkir, Kota Belud
Kampung Sangkir, Kota Belud
Kampung Sangkir, Kota Belud
Kampung Sangkir, Kota Belud


Tamu Kota Belud

Kata orang, kalau mahu betul-betul memaknai sesebuah pengembaraan pergilah ke pasarnya. Di situ kita berjumpa (dan bergaul) dengan masyarakat setempat, melihat apa yang dijualbeli oleh penduduk tempatan, dan suasananya lebih real. Lebih manusia. Satu dokumentari kehidupan boleh dilihat secara langsung.

Kami sudah kelaparan sewaktu tiba di bandar Kota Belud. Rezeki kami, kereta betul-betul parkir di hadapan pintu masuk pasar. Kami berjalan tak jauh dari situ dan terjumpa sebuah restoran yang menyediakan sarapan pagi. Sudah hampir seminggu di Sabah, jadi rindu juga pada nasi lemak dan roti canai, tapi nasib masih belum menyebelahi. Kami memesan murtabak, cakoi berintikan marjerin dan Alhamdulillah, kekenyangan.

Dengan Bismillah, kami melangkah masuk ke dalam pasar Kota Belud yang terletak di dalam satu bangunan berwarna hijau. Suasana pasar, tentulah meriah. Lengkap bahagian basah dan kering. Kami bertanya-tanya juga pada orang tempatan, di mana mahu cari ikan bilis mata biru? Dan harganya bagaimana? Kebanyakan mencadangkan cari saja di Kota Kinabalu. Pilihan lebih banyak dan harga tak begitu berbeza.

Kami mencari apa yang unik di dalam pasar, tapi tak banyak pun berbeza dengan pasar di Semenanjung. Ada lah beberapa jenis sayuran dan buah yang nampak lain, itu saja. 

Oleh kerana kami mahu berkejar ke Kota Kinabalu, kami tak berlama di dalam pasar. Tanpa sebarang buah tangan buat kenangan, kami pun bertolak pergi meninggalkan Kota Belud.

Tamu Pasar Kota Belud, Sabah
Tamu Pasar Kota Belud, Sabah
Tamu Pasar Kota Belud, Sabah
Tamu Pasar Kota Belud, Sabah


Piang Bakar

Tiga hari di Kota Belud, tiga kali juga kami pergi ke bandar utama. Hari pertama, kami mencari dobi dan makan tengah hari. Hari kedua, kami mencari makan malam. Dan pada hari inilah kami berkenalan dengan kuih tempatan yang paling sedap; Piang Bakar.

Saya tak pasti kalau kuih ini memang asalnya di Kota Belud, atau boleh saya dicari di mana-mana di Sabah. Tapi kalau sampai ke Kota Belud, mesti cari. Kami ke restoran Mayang Sari, berhampiran Tabung Haji Kota Belud. Saya tak pasti tepatnya jam berapa, tapi kami ke sana sekitar jam 6 petang.

Piang Bakar
Piang Bakar

Saya membuat pesanan Nasi Paprik dan segelas Kitcai sejuk. Nasi Paprik Kota Belud tak sama dengan versi Gombak Truly Asia. Siap ada cendawan. Kitcai tu, air limau campur asam boi. Yang ni sedap.

Sewaktu mulut rakus mengunyah, ada seorang sumandak mengangkat dulang penuh dengan kuih yang menarik dan memikat perut. Sebaik habis makan, terus saya ke kaunter untuk membelek kuih yang menggoda tadi.

Piang Bakar.

Luarnya tepung, disalut bijan. Dalamnya berintikan kacang merah. Masih panas baru keluar dari oven barangkali.

Kami ambil sorang satu.

 

Allahuakhbar.

Tekstur tepung yang membalut kuih ni tidak begitu tebal. Dibakar dengan baik, jadi tepungnya sempurna luar dalam. Intinya kacang merah (dipanggil kacang hitam oleh brader kaunter), manis untuk diseimbangkan dengan balutan tepung.

Mantap, kawan.

Panas-panas lagi, kami makan tanpa ada sisa. Sedap betul. Sudahnya kami bungkus lagi untuk dibawa dan dimakan di hotel. Walaupun sudah sejuk, sedapnya masih kekal.

Unik.





Reactions

Post a Comment

0 Comments