Meneman Suhaimi Mencari Tempurung Di Concubine Lane, Ipoh

Mungkin orang kata saya kolot.

Tapi itu pun mungkin andaian saya saja. Walhal, tindakan saya itu sebenarnya wajar. Saya sendiri yang bersangka-sangka kerana kurang keyakinan diri.

Kenapa?

Begini. Saya seperti biasa ditugaskan untuk membuat itenerari dan sekaligus menjadi kerombo (ketua rombongan) setiap kali mengembara. Baik bersama keluarga mahupun dengan kawan-kawan. Saya tak ada masalah dalam hal tu, asalkan semua setuju dan memberi pandangan/cadangan bila diperlukan.

Sama juga dengan program ke Ipoh ini.

Saya mencari hotel yang bersesuaian dengan itenerari dan tak melampaui bajet. Tapi ada faktor lain juga perlu diambil kira, misalnya keselamatan. Mulanya saya mencari hotel di sekitar Concubine Lane, kerana kami mahu berjalan kaki saja ke pasar tu nanti. Tak payah pening kepala mencari parkir.

Ada lah beberapa hotel (atau motel?) di situ. Saya gunakan fungsi street view dalam aplikasi Google Map, lalu nampaklah persekitaran hotel yang ada.

Ditambah faktor nama 'Concubine Lane' dan suasana persekitaran hotel itu yang agak 'mesra' dengan nama laluan tu, saya tak sedap hati. Risau nanti waktu malam, tiba-tiba sepanjang kaki lima dinyalakan dengan lampu berwarna merah.

Red light district.

Adoi!

Terus saya pilih hotel yang lain. 

Begitulah kolotnya saya.

Kah kah kah!


Kong Heng Square

Hasil maklumat carian di internet, kawasan tarikan utama di bandar lama Ipoh ini ialah di sekitar Kong Heng Square. Di sini ada Concubine Lane, Art Street, Tugu Peringatan Birch, Masjid Negeri dan juga Newseum Yasmin Ahmad. Atas alasan ini lah saya mahu mencari hotel di kawasan berhampiran.

Siapa Kong Heng?

Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Berhampiran Kong Heng Square


Tugu Peringatan JWW Birch

Tugu ini dibina semenjak zaman British lagi, jadi tangguh dulu jika mahu mengecam. Heheh! Ye lah, untuk seorang penjajah yang mencemar adat dan adab orang Melayu, yang kemudian mati dibunuh oleh pahlawan negara, dibina pula sebuah tugu sebagai kenangan. Buat apa? 

Tugu yang dibina pada tahun 1909 ini berupa menara jam dan dibina dengan kos $25,000 pada waktu itu.

Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Tugu Peringatan JWW Birch


Masjid Negeri Perak

Di seberang tugu ini ialah Masjid Negeri Perak. Hairan juga ya, kenapa masjid tak masuk dalam itinerari? Boleh je singgah buat solat sunat tahyatul masjid dan solat sunat lain kalau pun belum masuk waktu solat fardhu. Kan?


BookXcess & Yasmin At Kong Heng Newseum  

Salah satu sebab kami bersungguh mahu ke Concubine Lane ialah mahu mencari Newseum Yasmin Ahmad. Saya kurang faham apa maksud newseum tu, lebih mudah saya sebut muzium saja. Letaknya di dalam bangunan BookXcess, di tingkat bawah tanah. Bangunan ni merupakan bekas bank, dan pameran hasil kerja almarhum Yasmin Ahmad ada di dalam salah satu bilik kebal di sini.

Hanya ada dua bilik khas untuk Yasmin Ahmad, dan tak banyak yang dipamerkan.

Siapa Yasmin Ahmad?

Kalau kau suka dengan iklan Petronas untuk musim perayaan satu ketika dahulu, dan juga suka menonton filem-filem seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Mualaf dan beberapa filem lagi, almarhum lah pengarahnya. Hasil karya yang lain daripada yang lain. Yang berseni.

Dan Yasmin Ahmad banyak membuat penggambaran di bandar Ipoh. Atas dasar itu saya kira, muzium ini dibina di sini.

Al-Fatihah untuk Yasmin ahmad.

Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh


Meneman Suhaimi Mencari Tempurung Di Concubine Lane / Jalan Panglima

Kami kemudiannya berjalan di sepanjang lorong sempit Concubine Lane, kemuncak percutian kami di Ipoh ini. Kiri kanan dipenuhi dengan kedai jualan yang pelbagai. Kebanyakannya makanan tempatan dan ada juga dari luar. Unik dan penuh warna-warni. Mujur juga sarapan di Pasar Karat Ipoh sebelum ke sini masih lagi memenuhi ruang perut.

Entah di celah mana, ada kedai menjual pokok-pokok dan hiasan laman. Kami masuk mengintai apa yang menarik. 

Ada tempurung kelapa bersaiz kecil, mungkin sebesar penumbuk orang dewasa obesiti. Jumlahnya ada lima atau enam, digantung bersama menjadi hiasan. Ada ruang di dalam tempurung, boleh saja diisi tanah dan anak pokok durian, kalau mahu. 

Suhaimi membelek dengan penuh takzim.

Suhaimi kemudiannya jatuh cinta. Matanya berbinar cahaya bak Tuah yang kasmaran pada si Teja.

"Kau nak buat apa tempurung ni?"

"Boleh lah buat kenangan. Nanti aku teringat tempurung ni aku beli di Ipoh dengan kawan-kawan."

"Tempurung ni kau kutip je kat pantai Sungai Ular tu banyak je."

Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Nyut Yam bergambar dengan tempurung sementara Nyut Sen membuat bayaran

Begitulah akhirnya kami mendapat topik untuk dibahankan. Mengembara sejauh 166 km dari Gombak dan membeli tempurung comel untuk dibawa pulang. Masing-masing sudah mangli, sudah tebal telinga. Bersahabat sudah menghampiri 30 tahun, nak terasa hati tu agak susah. Kalau saya dibahan, tak jadi masalah. Paling tidak pun, saya suruh turun kereta di tepi lebuhraya. Kah kah kah!

Perut masih kenyang dengan nasi lemak di Warung Tempua, dan destinasi kami seterusnya tak jauh mana. Lagipun, cadangnya nak makan daging rusa di Behrang. Jadi ada jarak masa yang agak jauh sebelum  perut dapat diisi. Fikir punya fikir, kami ambil keputusan untuk makan laksa. Di mana? Di Laksa-mana.

Biasa-biasa je.

Benchmark laksa saya, tentulah yang dimasak Cik Milah. Jauh beza rasanya antara laksa-mana dan laksa Langkawi.

Makan, tetap makan.

Alhamdulillah.


Concubine Lane / Lorong Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Lorong Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Lorong Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh
Concubine Lane / Jalan Panglima, Ipoh


Kami kemudian pun beredar ke lokasi seterusnya.

Bersama tempurung gantung dalam beg plastik.







Reactions

Post a Comment

0 Comments