Mengenal Pahala Malam Di Obertraun

Oleh kerana kami tak dapat menjalankan aktiviti pada waktu siang yang hujan, menjelang senja kami gagahkan juga keluar dari rumah mahu melihat-lihat sekitar kampung Obertraun. Rugi kalau sudah sampai sejauh ini tapi hanya terperap sahaja di rumah.

Namun gerimis masih setia menemani sore itu.

Kami berhenti di sebuah tasik, menikmati remang senja perkampungan yang di kelilingi gunung-ganang yang berkabus. Entah mengapa, pemandangan yang terbentang di hadapan saya waktu itu sangat menenangkan. Tasik luas begitu tenang dengan air yang jernih dan sejuk membeku. Ada ombak-ombak kecil menghempas tebing tasik yang langsung tidak berpagar.

Kami naik ke atas jeti kecil yang terjulur ke arah tasik. Hanya kami berempat, tidak ada sesiapa selain kami.

Sunyi.

Sepi.

Hari semakin gelap dan rintik hujan masih belum reda.



Kami kemudian memandu masuk ke dalam Hallstatt yang sudah pun diselubungi gelap malam.  Tak jauh pun, sekitar lima minit kami sudah menjejak kaki di Hallstatt, pekan yang terkenal dengan hasil garam gunungnya. Hallstatt, satu kota yang sudah terbina sejak berzaman telah diiktiraf sebagai World Heritage Sites di Austria oleh UNESCO pada tahun 1997.

Hallstatt sangat cantik, kawan.

Tunggulah waktu siang, memang terpukau dibuatnya.

Namun waktu itu, kami hanya mahu menikmati suasana malam di tanah Austria yang jauh entah di ceruk mana.

Jalan-jalan sudah lengang. Walhal, saya kira itu adalah waktu "Maghrib" kalau di tanah air. Waktu larangan untuk berada di luar yang sudah saya tetapkan dalam keluarga, namun dibuat pengecualian hari itu. Eheh!

Tidak ada kedai yang beroperasi, melainkan sebuah pasar raya kecil yang menjual keperluan harian. Saya fikir, kedai itu pun pasti untuk pelancong berdasarkan kedudukannya di tengah pekan.

Jalan hanya diterangi lampun neon yang malap.

Mungkin, kedudukan kami bukan di lokasi utama tarikan pelancong namun di waktu siang, di tempat yang sama akan penuh dengan orang ramai berkumpul mengambil gambar di sini.



Entahlah.

Barangkali hari hujan dan sejuk, penduduk tempatan memilih untuk berkumpul di rumah.

Atau sebenarnya, itulah budaya mereka?

Waktu malam, waktu yang dihabiskan bersama keluarga. Di rumah. Bukan dihabiskan bepeleseran di atas jalan, atau minum teh ais segelas selama empat jam di kedai kopi tanpa ada tujuan, tanpa ada hasil. Budaya orang maju dan berpendidikan, tahu apa yang perlu dan meninggalkan yang sia-sia.

Mungkin begitu.

Kami akhirnya melangkah pulang.

Menuju kawasan parkir, kami perlu menempuh lorong-lorong kecil di celahan rumah penduduk Hallstatt. Rumah sebuah-sebuah, seperti rumah kita di kampung-kampung. Oleh kerana suasana sudah sunyi, kami mengawal suara agar tidak keterlaluan mengganggu tuan rumah.

Pap!

Lampu laman rumah di sebelah kanan menyala.

Pap!

Jalan menjadi cerah diterangkan lampu laman rumah sebelah kiri.

Saya sedikit cuak.

Kami bising sangat kah? Bersuara kuat sehingga mengejutkan tuan rumah, lalu menerbitkan rasa marah. Aduhai! Sudahlah kami jauh entah di hulu mana, sekarang mencari fasal pula di tempat orang.

Tapi, tidak ada kelibat lain pun selain kami.

Pup!

Lampu laman terpadam selepas kami menjauh.

Ah!

Mungkin tuan rumah hanya mengintai di tingkap, melihat empat lelaki Asia yang tidak membahayakan. Lalu kembali meneruskan aktiviti malam dengan tenang.

Itu, sangka saya.



Mungkin juga benar. Mungkin tidak. Kerana kata sahabat kembara saya, itu sebenarnya "budi baik". Saya berkerut. Baik? Seperti makcik bawang yang kepoci? Celah mana baiknya?

Kata sahabat saya itu lagi, sebenarnya lampu itu sengaja dipasang di laman rumah, dan akan menyala secara otomatik sekiranya ada kelibat yang lalu. Selain faktor keselamatan, itu juga cara mereka membantu menerangkan jalan untuk pejalan kaki di waktu malam.

Oh!

Begitu.

Cantik, kan?

Mudah sahaja membuat pahala, hanya dengan menerangkan jalan untuk orang ramai.

Dan saya teringat budaya yang saya sendiri sudah amalkan sekian lama. Lampu di luar rumah, memang saya akan nyalakan sepanjang malam. Sama juga, seperti tuan rumah di Hallstatt itu dibuat sebagai langkah keselamatan.

Cuma saya tidak sedar, ada "pahala" (Insya-allah) yang dikurnia ketika cahaya lampu rumah saya itu membantu menerangkan jalan.

Allahu.

Pengetahuan sekecil itu, perlukan saya beribu-ribu kilometer merantau untuk menjentik akal.

Ah!

Kembara sememangnya indah, kawan.

Terima kasih Obertraun, untuk secebis ilmu pahala malam.



Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #12 : MALAM






0 comments:

Post a Comment

My Instagram