Tangisan Nur Hanis Menjelang Subuh

Jam 5.54 pagi.

Telefon saya di atas kepala katil berbunyi. Tertera nama "STF - Phone 2" pada skrin dan saya bingkas menjawab.

Tiada bunyi.

Saya tukar kepada mod loud speaker.

Senyap.

Beberapa saat kemudian, terdengar perlahan suara yang saya rindu.

"Abah."

"Ya adik."

Baru malam tadi saya menyebut-nyebut entah jam berapa pula orang JB akan buat panggilan. Sangka saya, jam 11 juga. Rupanya tertunda ke pagi. Sebelum Subuh.

Senyap.

Tiada suara yang kedengaran dari hujung talian telefon satu lagi. Suara yang saya tunggu, berganti dengan esakan.

Adik menangis!

Dari perlahan, semakin kencang.

Abah luluh.

Hanis abah menangis di waktu pagi begini, pasti ada sesuatu yang besar berlaku.

Saya berlari turun ke ruang tamu, mendapatkan ummi Hanis untuk sama-sama mendengar.

Saya sudah tak keruan, tapi cuba menenangkan diri. Hampir lima minit saya memujuk Hanis bercakap, yang kedengaran hanyalah esak tangisnya.

Allah.

Ingin abah ke sana sekarang juga. Abah nak peluk Hanis. Mahu pujuk Hanis. Hanis jarang menangis selama ini, apa lagi di depan abah. Kali akhir dia menumpahkan air mata, sewaktu mengambil keputusan UPSR tempoh hari. Sebelum itu? Saya tak ingat.

Saya terus memujuk.

Akhirnya si comel abah membuka bicara.

Nur Hanis Sharulnizam

Katanya, malam tadi dimarah senior. Itu ini begitu begini, dia meluahkan. Kata dia, Hanis tak buat seperti yang dituduh kakak. Tak pasal-pasal dimarahi.

Aduh, sayang abah.

Sudah abah pesan tempoh hari, memang akan ada senior yang akan cuba menunjuk kuasa, berlagak tak ketahuan hala. Sabarlah. Mereka sedang menikmati masa (sia-sia) yang diidamkan lama. Bertabahlah seminggu ini. Habis orientasi nanti, hilanglah perangai diva kanak-kanak baru nak kenal hidup itu.

Tapi, iyalah.

Kata-kata abah, tak sama dengan pengalaman Hanis sendiri. Abah tahu, Hanis mahu membela diri seperti selalu (bercakap hal yang betul), tetapi tak terluah disebabkan "kesamsengan" kakak senior.

Sabarlah, adik.

Pesan abah dan ummi, istighfar. "Lawan" dengan senyuman dan kesabaran. Berdoa agar terus diberi kekuatan dan kakak senior yang insaf. Amalkan bacaan surah Al-Insyirah, moga-moga ada kelapangan diberi Allah.

Perbualan telefon selama 13 minit pagi itu, menjadi perbualan yang paling menjerut rasa. Hal-hal "kecil" pembulian ini, saya boleh tutup mata. Sudah dijangka, dan masih dalam keadaan terkawal. Ya, itu tidak sihat kerana mendera mental dan emosi. Tapi sudah menjadi budaya duduk asrama, begitulah. Yang paling-paling boleh dibuat pun, esok nanti kalau sudah menjadi senior, jangan pula dibuat perkara sebegitu kepada junior. Tak usah membalas dendam.

Saya memujuk. Umi pun memberi nasihat. Hanis sudah mereda, tapi esaknya masih ada. Hanya kerana syiling telefon sudah kehabisan, kami berpisah di talian.

Abah tewas juga.

Tak sanggup betul mendengar anak menangis sebegitu.

Abah tahu Hanis penat.

Abah tahu Hanis belum lagi dapat membiasakan diri tidak lagi bersama keluarga.

Abah tahu Hanis risau dan takut dengan tempat baru.

Sabarlah sayang.

Ada manisnya nanti.

Insya-allah.





0 comments:

Post a Comment

My Instagram