Kemurungan, Apa Yang Harus Anda TIDAK Lakukan

Ini bukan kajian ilmiah. Saya harus nyatakan itu agar tidak ada yang menjadikan entry ini sebagai rujukan.

Ini pengalaman peribadi. Pengalaman menyaksikan kemurungan yang berlaku kepada orang-orang di sekeliling. Jadi pandangan saya di sini lebih berbaur emosi, bukan hujah berfakta.

Sebenarnya, saya ada memuat naik satu posting di Facebook tentang ini. Pendek saja. Beberapa ayat yang diperenggankan menjadi tiga. Posting itu saya catatkan kerana saya melihat artikel-artikel tentang kejadian menyedihkan berlaku dalam negara akibat penyakit ini.

Sedih.

Ada dua kesedihan.

Pertama, nasib mereka yang menjadi mangsa penyakit kemurungan ini. Kadar bunuh diri meningkat drastik semenjak negara diperintahkan berkurung semenjak Covid-19 melanda. Saya membaca satu posting (lupa sumbernya) yang rata-rata masalah bunuh diri akibat kemurungan ini berpunca daripada masalah kewangan. Jalan mudah tak mahu lagi menanggung beban ialah menamatkan nyawa sendiri. Allahu.

Kedua nya melihat bagaimana orang awam bertindak balas terhadap isu ini. Tak semua, namun yang segelintir itulah paling lantang didengari. Yang bersimpati ada, tapi agak menyeleweng pula respon yang diberi.

"Istighfar lah, ingat tuhan."

"Banyakkan amalan. Zikir."

"Bertaubatlah. Berdoalah."

Salah kah nasihat begitu?

Inilah yang saya mahu bincangkan.

Kemurungan, Apa Yang Harus Anda TIDAK Lakukan


Meninggalkan Agama?

Bagi saya, menasihatkan orang supaya kembali kepada agama sama bunyinya mengatakan orang tu tak berpegang pada agama. 

Betul, niat kita baik dan tidak ada langsung maksud macam tu. Kita ikhlas, kerana kita adalah bukti nyata yang memang mengamalkan nasihat itu. Kita ada kredibiliti. Kita mahu formula yang sama diamalkan oleh mereka yang kemurungan ini.

Tapi kawan, orang yang "terima" nasihat tu tak semestinya mempunyai gelombang pemahaman yang sama. 

Orang murung ini sangat sensitif. Kata-kata macam tu membuatkan dia rasa bertambah rendah diri. Betul ke aku ni tak cukup amalan? Betul lah kot, kawan aku cakap macam tu. 

Kawan, rasa rendah diri dan hilang yakin diri sangat besar impaknya kepada pesakit ini.

Jadi, salahkah memberi nasihat berbunyi "agama-agama" ni?

Boleh, kawan.

Islam itu cara hidup. Semuanya memang ada agama-agama.

Baik. Saya bagi contoh.

"Banyak-banyak kan ingat Allah. Orang bunuh diri tak masuk syurga."

Atau;

"Aku doakan kau diberi kesembuhan dan kemudahan dalam urusan. Suka aku kongsikan kalau kau mahu, cuba amalkan bacaan surah ini dan surah itu selepas solat. Insya-allah, kita serahkan kepada Allah yang Maha Menyembuh. Kalau kau perlukan apa-apa, bagitau aku ya?"

Nampak tak perbezaan antara dua nasihat di atas?

Yang pertama, mengajar-ngajar. 

Yang kedua, lebih terasa simpati dan perkongsian yang lebih spesifik. Tawaran kita membantu membuatkan pesakit terasa selamat. Dia mungkin tak perlukan bantuan tu, tapi dia tahu orang sekeliling ada bersama dia.

Niat baik namun perlu disampaikan dengan cara yang betul.

Kita tak boleh anggap penerimaan orang sama saja dengan pemahaman kita. Ada bezanya. Apa lagi, kita bukanlah kenal antara satu sama lain.

Maaflah.

Saya sedikit emosi dalam hal ni.

Hanya meluahkan apa yang saya rasa.

Pemahaman kita tak sama.







Reactions

Post a Comment

0 Comments