Tujuh Tips Fotografi Mengambil Gambar Bunga

Bunga, tidak dapat tidak pasti membuatkan hati tersenyum melihat warna, corak dan sudah tentu baunya. Baik perempuan mahupun lelaki. jarang yang tidak suka pada bunga. Bunga kalau dapat disentuh dan dibau, memanglah berbaloi. Namun ada masanya kita mahu merakamkan gambar bunga yang berwarna-warni itu untuk kenangan. Saya kongsikan di sini tips fotografi mengambil gambar bunga yang saya amalkan dan pelajari (secara online).

#1 Gunakan lensa makro (atau kamera telefon pun boleh!)

Untuk pengguna telefon besar seperti DSLR, eloknya gunakan lah lensa makro yang lebih sharp hasil gambarnya. Tak ada? Tak jadi masalah. Kamera telefon zaman sekarang kebanyakkannya sudah pun canggih, memang sesuai untuk merakamkan gambar bunga.



#2 Pilih waktu dan keadaan yang bersesuaian

Kalau bunga-bunga di laman rumah sendiri, rancang waktu yang bersesuain. Seeloknya waktu pagi, semasa bunga masih lagi menguncup, sehinggalah waktu ia kembang. Itu lebih memberi rasa ke dalam gambar. Waktu petang (menghampiri senja) juga waktu yang terbaik. Elakkan mengambil gambar ketika matahari sedang membahang, kerana cahaya yang kuat membuatkan gambar bunga tidak menjadi jelas dan menarik.

#3 Posisi / Persepektif berbeza

Pesan seorang guru fotografi, bayangkan diri sebagai lebah yang mahu mencari madu. Atau si kecil Thumbelina yang menari menyanyi di atas kelopak bunga. Bayangkan bagaimana mereka ini melihat keindahan ciptaan berwarna-warni ini dengan mata kecil mereka. Memang menjadi!



#4 Asingkan

Selalunya, jambakan bunga memang cantik dipandang. Itu pandangan mata manusia, di dalam gambar kita boleh cuba fokus hanya pada sekuntum sahaja dalam satu-satu masa. Lebih menyerlah dan mata yang melihat akan lebih terarah.



#5 Dekat

Sama seperti perkara #3, dengan "mata kecil" kita akan melihat bunga ini lebih "besar". Saya tak tahu apa namanya, "sesungut" bunga pun menarik kalau dapat difokuskan. Stigma, kata orang putih. Kelopak bunga yang berlapis-lapis juga menarik. Pendek kata, kita "dekatkan" mata untuk melihat dengan lebih jelas dunia bunga itu.



#6 Tahan nafas

Sekiranya tidak menggunaka tripod dan bergantung sepenuhnya dengan kekuatan tangan, maka perlu lebih berusaha untuk memastikan gambar tidak ada kesan "gegar" atau blur. Tahan nafas, kepit tangan keduanya atau tumpangkan di atas kaki supaya pegangan kamera lebih kukuh.

#7 Kreatif

Kalau kita rasakan gambar bunga itu "kosong", jadikan suasananya lebih menarik. Saya pernah menyemburkan air untuk mendapatkan kesan embun atau titisan hujan. Hasilnya, gambar terasa seperti lebih segar. Atau kalau nasib baik, kadang-kadang ada rama-rama yang hinggap pun menjadikan gambar lebih menarik. Ini ikut nasib, dan juga kepantasan kamera. Sekiranya ada patung LEGO yang kecil, gayakan mereka di tepi bunga. Pun menarik!



Sebenarnya macam-macam lagi teknik yang ada. Saranan saya, mahirkan dengan satu atau dua teknik dalam satu-satu masa, kemudian barulah bergerak kepada teknik yang lain. Bila semakin mahir, kita akan menggabungkan pelbagai teknik dalam satu gambar, tanpa kita sedar.

Cuma sekarang, saya mencari-cari di mana boleh saya dapatkan bunga-bunga yang pandai menari dan menyanyi seperti video di bawah. Bunga ini pandai menggoda, tau!



Hehehehe!


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #17 : BUNGA






Reactions

Post a Comment

1 Comments

  1. Baik. Jelas dengan maklumat yang dikongsikan. Terima kasih Tuan. Lepasni saya ambil gambar bunga waktu pagi dan petang.

    ReplyDelete