Cara Memasak Ikan Goreng Sambal

Saya memang jarang ke dapur untuk memasak. Paling selalu pun, masak mi Maggie. Lain-lain, saya serahkan di bawah tampuk kekuasaan Cik Milah. Eheh! Cuma ada sekali, saya belajar cara memasak ikan goreng sambal daripada beliau, sebab inilah masakan yang saya boleh ulang makan sehingga 34 pinggan!

Hihihi!

Melampau betul.

Memang sambal ikan sudah menjadi kegemaran saya sejak kecil lagi. Kalau mak masak sambal ikan (atau ayam), panjanglah hidung saya membau-bau aroma yang menyucuk hidung di dapur. Kena dengan nasi panas, pergh, memang jadi lupa daratan.

Selepas berkahwin, kekasih hati saya belajar daripada mak mertuanya untuk memasak hidangan ini. Dan akhirnya "hidayah" sampai kepada saya untuk turut belajar ketika isteri saya dalam pantang selepas melahirkan anak keempat kami.

Tapi, dah lama juga tak memasak.

Hujung minggu nanti bolehlah cuba asah bakat yang lama terendam ni.

Bahan-bahan Memasak Ikan Goreng Sambal

  1. Ikan Sardin / Kembung / Selar (4 ekor)
  2. Serbuk kunyit
  3. Garam
  4. Bawang Besar (sebiji)
  5. Bawang Kecil (4 biji)
  6. Cili Merah (4 biji)
  7. Cili Api (8 biji)
  8. Minyak Masak (2 cawan untuk menggoreng)

Cara Memasak Ikan Sardin Goreng Sambal Bahan-bahan Memasak Ikan Goreng Sambal

Cara Memasak Ikan Goreng Sambal

  1. Gaulkan ikan dengan serbuk kunyit dan garam secukup rasa.
  2. Panaskan minyak. Masukkan ikan dan goreng sehingga habis "air" ikan. Asingkan setelah selesai menggoreng dan bersedia untuk membuat sambal.
  3. Potong kecil bahan-bahan untuk dimesin. Masukkan sedikit air.
  4. Selepas dimesin, tapis dulu bagi airnya keluar. Seeloknya tidak terlalu halus (seperti dalam gambar dan air juga tidak berlebihan).
  5. Panaskan semula minyak goreng ikan sebentar tadi. Tinggalkan hanya secawan.
  6. Masukkan sambal yang sudah dimesin dan biarkan sampai hilang air. Boleh cuba rasa pedas masin, dan tambahkan garam sekiranya perlu. Masukkan ikan yang sudah digoreng tadi.
  7. Siap.

Cara Memasak Ikan Goreng Sambal - Menggoreng Cara Memasak Ikan Goreng Sambal - Penyediaan Cara Memasak Ikan Goreng Sambal - Siap


Jom cuba!


*Entri ini asalnya diterbitkan pada tarikh 13 November 2013, ketika Syah (isteri saya) sedang berpantang selepas melahirkan anak bongsu kami, Hafiz. Saya kemaskini semula (untuk tugasan cabaran blog bulan Ogos)


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Ogos yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#augustblogpostchallenge #augustwritingprompts #tulistulissharul

Wordprompt #2 : Kongsi resepi masakan yang anda suka.






0 comments:

Post a Comment

My Instagram