[Ulasan Buku] Cantik Itu Luka Oleh Eka Kurniawan

Cantik Itu Luka Oleh Eka Kurniawan

Cantik Itu Luka saya beli ketika Pesta Buku Kuala Lumpur 2016. Diterbitkan semula oleh Dubook Press. Dan saya hanya membacanya ketika mahu ke Pesta Buku Indonesia di Jakarta.

Bagaimana ya, mahu saya ulas buku yang sudah diterjemah kepada 24 bahasa di seluruh dunia ini?

1
Buku ini gabungan kisah mistik, sejarah, falsafah perjuangan dan juga erotis. Mistik pada peringkat permulaan dan penghujung. Mengimbas sejarah dan diselitkan falsafah perjuangan (komunis) untuk mengukuhkan jalan cerita. Erotis, di sana sini. Ya. Ianya cabul.

2
Ceritanya sekitar Halimunda, yang mulanya saya sangka benar-benar wujud. Eka menggabungkan yang fiksi dan yang nyata. Kisah bermula sebelum merdeka, semasa merdeka dan pasca merdeka.

3
Penceritaannya sekitar lima keturunan, bermula dengan Dewi Ayu keturunan yang ketiga. Tetapi lebih banyak kisah anak-anak dan menantu Dewi Ayu. Dan sedikit perihal cucu (dan cicitnya). Dan kisah-kisah sumbang mahram sesama mereka. Yang banyak! Saya tidak tahu kenapa Eka mahu bercerita begitu. Mungkin kerana mahu menekankan rosaknya keluarga yang susur galurnya berasal dari hubungan terlarang. Apatah lagi Dewi Ayu, watak utama, menjadikan pelacuran sebagai pekerjaan.

4
Eka pandai memikat. Awalnya saya menyangka ini buku seram. Ada juga rasa menyesal, kerana saya sudah "bertaubat" dengan buku-buku seram selepas "Bercakap Dengan Jin" dan "Berkelahi Dengan Syaitan". Tetapi semakin dibaca, mistik itu sudah "hilang", diganti dengan kisah hidup Dewi Ayu yang diimbas semula.

5
Separuh buku yang pertama, dalam setiap bab lebih banyak memperkenalkan watak-watak dalam Cantik Itu Luka. Sekali lagi, Eka menimbulkan rasa ingin tahu, dan memaksa pembaca untuk terus terikat.

Keseluruhannya, buku ini menarik dari segi peyampaian. Isi ceritanya, kreatif juga kerana menggabungkan pelbagai rasa yang tak terjangka. Watak Dewi Ayu yang bermulut lepas, menambah rasa humor.

Cuma kisah erotis itu, terlalu ketara dan tidak bertabir dan berlapik. :(


Cantik Itu Luka Oleh Eka Kurniawan





Reactions

Post a Comment

0 Comments