Tuan rumah sewanya, Tok Chah Juling, bersungguh-sungguh menyiapkan pangkin ini
sewaktu Zaki dan Andy baru sehari pindah masuk. Kata dia, untuk mereka
berehat-rehat di waktu petang. Angin kampung boleh bikin jiwa tenang, kata Tok
Chah tersengih menunjukkan gigi yang tiada.
Comel.
Memang tenang. Petang itu Zaki memang memerlukan suasana damai di kala hatinya
sedang bergelora memikirkan masalah yang sarat di jemala. Peristiwa di sekolah
pagi tadi masih jelas dan mengganggu perasaan. Perintah Cikgu Hamidun, Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Kurung Hitam yang mahukan Zaki mengetuai projek
gotong-royong perdana membersihkan kawasan sekolah, membuatkan dia rasa
tertekan.
Alahai, gotong-royong saja pun.
Memanglah bunyinya mudah. Cuma program ini melibatkan masyarakat
setempat, bermakna akan ada himpunan manusia yang ramai. Bagi Zaki yang masih
kekok dengan masyarakat mukim Kurung Hitam, manalah dia betah mahu bergaul
dengan orang luar. Lagipun, Zaki ada masalah agoraphobia. Kalau di hadapan orang
ramai, mudah benar dia menjadi panik.
Hairan.
Berhadapan dengan murid-murid, boleh pula?
Entahlah.
"Hai, jauh termenung tu."
Zaki tersentak. Dia menoleh ke kanan. Toleh ke kiri. Perlahan-lahan Zaki mengintai ke belakang pokok nangka, sambil menelan air liur.
Tiada siapa-siapa. Andy buat lawak ke?
"Sinilah, kat depan ni!"
Zaki kembali memusingkan badan ke hadapan. Bulu kuduknya meremang. Peristiwa naga hitam di bilik mandi tempoh hari masih segar dalam ingatan. Hampir tiga hari dia demam, manakala Andy meracau setiap malam menyanyikan lagu Kurik Kendi, siap dengan tarian zapin Johor.
"Nampak tak? Haaa.. ni ha betul-betul kat depan hidung. Nampak?"
Zaki diam tak berkutik. Dia mengatur nafas supaya lebih tenang. Perlahan-lahan, Zaki mula ternampak bayang-bayang seperti batang mancis, berayun perlahan dari kiri ke kanan. Warna hijau.
"Haaa.. nampak dah? Amboi, sampai juling biji mata tu tengok kita. Lawa sangat ke kita ni? Malu lah."
Gedik betul.
"Eh, ulat bulu ke? Gatal tak?"
Zaki memberanikan diri.
"Bukanlah. Kita inchworm, tapi bolehlah panggil ulat bulu juga. Gatal tak? Soalan pun, kemain. Tak, kita tak gatal. Awak gatal?"
Zaki tersengih. Comel betul dapat berbual dengan ulat bulu gedik ni. Hilang rasa takut sebentar tadi.
"Ingat pada siapa tadi? Ramlah Tam? Salwa Abdul Rahim? Rohana Jamil? Jauh betul termenung, sampai kita yang tergantung lama kat sini awak buat tak tahu saja."
"Kenapa tergantung? Nak bunuh diri ke?"
"Oi! Tak agak-agak. Kita melarikan diri dari kejahatan lah. Kita spesis Looper, kalau ada anasir nak buat tak baik kat kita, kita buat bungee-jump untuk melarikan diri. Benang ni air liur kita, macam sutera. Kuat. Nyawa kita tergantung di sini."
"Macam Spiderman?"
"Lebih kuranglah. Eh! Tak jawab lagi soalan kita. Ada masalah ke? Nak bunuh diri juga?"
"Hoi! Mulut tak padan dengan kecil. Tak ada lah, ada masalah duniawi sikit."
"Ohhh.. begitu. Kita nak nasihat, boleh?"
Lorat sangat budak ni. Tiba-tiba nak bagi nasihat. Tapi, layankan saja.
"Apa?"
"Tak perlu lah nak buat muka moncong termenung macam ayam berak kapur. Ada masalah, cari penyelesaian. Kena hadap. Kalau buntu, cari pertolongan. Asyik fikir 'kenapa aku', tak akan ke mana."
"Hmmmm... "
"Tengok macam kita. Kecil je. Masalah kita macam-macam ada. Tu, nampak burung pipit tu? Asyiklah usha kita siang malam, dia kata nak tangkap kita masak sambalado untuk anak-anak dia. Hek eleh! Memikirkan ugutan dia, tak ke manalah kita. Tapi hidup terlalu pendek untuk diserabutkan dengan masalah. Lawan. Atau peluk masalah yang kita hadapi, mana tahu boleh jadi kekuatan yang baru."
Sang Looper tersenyum. Agaknya. Manalah Zaki nampak mulut dia yang kecil tu.
"Dah! Berhenti termenung. Sekarang bangun, gerakkan kaki badan bagi keluar peluh. Detoks sikit badan tu, biar keluar segala toksin yang meracun fikiran."
"Nak buat apa? Kasut sukan ada di sekolah."
"Tak payah kasut. Kaki ayam pun cukup. Kita lari keliling pokok ni saja. Boleh?"
Zaki tersenyum. Apa salahnya. Dia pun dah lama tak menggerakkan kaki tangan semenjak datang ke Kuala Nerang ini.
"Jom!"
Zaki pun mula berlari mengelilingi pokok, sambil bersorak-sorak melepaskan risau yang terbuku di dada.
"Hoarghh... hoarghhhh... hoarghhh! Hahahahahah! Hahahahah!"
Zaki seronok. Siapa sangka, si inchworm gedik ini berjaya membuatkan dia bersenam dan ketawa!
Tapi Andy yang memerhati dari tingkap bilik, menggigil ketakutan melihat kelakuan Zaki bercakap seorang diri di bawah pokok nangka. Berlari-lari mengelilingi pokok sambil menjerit dan ketawa, entah upacara penyembahan apa si Zaki sedang lakukan.
Malam itu, Andy meracau lagi.
Manakala Zaki tidur nyenyak di dalam bilik sampai ke pagi.
Sumber gambar; https://www.flickr.com/
*****
Ikuti cabaran blog "Blog Challenge 2020" yang dikelolakan oleh Norsa'adah Ahmad.
Entri ini ialah tajuk ke-12; Si larva yang memaksaku (An inchworm made me do it)
0 Comments