[Ulasan Buku] Terusir Oleh Hamka

Oleh kerana saya sudah membaca Merantau Ke Deli terlebih dahulu, tidak dapat tidak saya membandingkan cerita kedua-duanya. Hampir saja sama, kisah seorang isteri yang teraniaya ditangan suami.

Mariah, daripada seelok-elok isteri dan ibu, difitnah disebabkan rasa dengki dan tamak oleh ahli keluarga sendiri. Lalu terusirlah dia membawa diri melanglang buana mencari perlindungan. Salah memilih dan terdesak, hidupnya semakin rosak. Sudah jatuh ditimpa tangga. 

Bekas suaminya, Azhar, setelah dinasihatkan sahabat yang lebih waras, menyesal namun terlambat.

Pengakhirannya tidak membahagiakan, sudah dijangka kerana bagi saya itu adalah "trademark" novel nukilan Hamka.

Buya Hamka, seperti selalu mahu menyampaikan sesuatu yang membuatkan pembaca berfikir. Watak Haji Abdul Halim menjadi teman pendorong dengan nasihat-nasihat yang menyedarkan. Mudah saja menyalahkan orang sekeliling, namun kita sering gagal melihat pada kekurangan diri.

Terusir adalah bacaan pendek. Buku setebal 120 mukasurat ini boleh saja ditamatkan bacaan dalam tempoh sejam atau dua, namun kalau diambil ikhtibar dan pengajarannya, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas sepanjang masa.

Terima kasih Buya Hamka, kerana mengingatkan.







Reactions

Post a comment

0 Comments