Dobi Layan Diri 24 Jam Dobi Queen Medan Idaman, Gombak

Mesin basuh kami rosak. Airnya tak mahu keluar. Entah apa punca pun tak tahulah. Umurnya baru 3 atau 4 tahun. 

Geram.

Walhal mesin basuh sebelum ni, elok saja berkhidmat sehingga 16 tahun. Semenjak Cik Milah bujang sampai dah beranak empat. Tak pernah rosak sekali pun. Tapi meniti usia tua, tetaplah ada terkehel sana sini. Sudahnya, kami ganti baru.

Sejak dua hari lepas, yang baru ini pun menunjuk ragam. Maka terpaksalah kami cari penyelesaian lain. 

Dobi 24 jam. Mujur khidmat ini sudah banyak. Berhampiran rumah ni saja, mungkin lebih daripada 5 kedai. Jadi selepas Subuh, saya berdua dengan Cik Milah menuju ke sana dengan 3 bakul baju yang penuh.


Dobi Queen 24 Jam

Saya baru tahu nama kedai ni hari ni. Waktu kami sampai, tak ada orang lain melainkan kami berdua. Bagi orang yang tak mesra dobi layan diri, keadaan ini memang sesuai benarlah untuk kami yang tercangak-cangak nak mengoperasikan mesin.

Yang pertama, kami pilih dulu mesin yang betul. Ada dua jenis mesin; washer dan dryer. Daripada nama kita sudah tahu fungsinya.

Kami pilih dua washer dengan kapasiti 32 kg, yang paling besar dan 12 kg paling kecil. Pilihan lain ialah 16 kg.

Kami dikenakan bayaran sebanyak RM14 untuk sekali cucian, menggunakan warm water. Ada 3 jenis air, dan setiap jenis berbeza bayaran. Untuk mesin 12 kg, kami perlu bayar RM5. Sediakan saja duit yang mencukupi dan mesin untuk menukarkan duit kepada token ada disediakan.

Semuanya layan diri!

Masa menunggu lebih kurang 40 minit mesin besar, 25 minit mesin kecil. Hmmm.. kalau tahu, guna saja mesin 16 kg (x2) untuk jimatkan belanja dan masa. Lagipun bukan ada orang lain.

Takpe, lain kali boleh.

Dobi Layan Diri 24 Jam Dobi Queen Medan Idaman, Gombak
Dobi Layan Diri 24 Jam Dobi Queen Medan Idaman, Gombak


Happy Hour

Saya nampak ada paparan jadual "happy hour" untuk mendapatkan harga yang murah.

Waktunya sepanjang hari Isnin-Jumaat, bermula jam 1 pagi - 8 pagi. Untuk harga yang saya bayar mesin 32 kg, daripada RM14 harga normal boleh turun sehingga RM9 sekiranya mencuci waktu ini. Banyak juga tu diskaun. Oh, sabun basuh percuma!

Mungkin, waktu ini memang tak ada kunjungan orang maka harga dikurangkan untuk menarik pelanggan datang.

Entahlah.

Waktu PKP ni, datang seawal jam 6 pagi pun seram sejuk sebab keadaan yang lengang. Waktu kami datang tadi pun, sudah jam 7 lebih masih tak nampak kelibat orang lain berurusan. Lagi-lagi, hari gerimis. Sedap tarik selimut di rumah!

Dobi Layan Diri 24 Jam Dobi Queen Medan Idaman, Gombak
Dobi Layan Diri 24 Jam Dobi Queen Medan Idaman, Gombak


Dryer 

Alang-alang dah ke dobi, gunakan jugalah dryer yang disediakan. Paling besar bersaiz 19 kg, sesuailah dengan timbunan baju kami yang menggunung. Tapi tak semua dapat masuk, terpaksa bawa sikit untuk disidai di rumah. 

Untuk pengeringan selama 30 minit, kami perlu membayar RM6.

Waktu ni barulah kami beredar cari sarapan pagi di kedai berhampiran.

Ok lah membasuh di dobi ni.

Berbaloi juga. Tapi sesekali boleh, kalau selalu boleh bocor poket dibuatnya.

Sekarang ni, nak cari tukang untuk betulkan mesin basuh kami.







Reactions

Post a Comment

0 Comments