Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Untuk Minum Pagi

"Haa.. inilah kedai Mi Bodoh Hasan."

Itu kata sepupu saya sewaktu kereta kami melepasi satu warung di tepi Jalan Tengkera. Kami baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengkera di jalan yang sama. Tidak pula kami singgah, kerana jamuan makan tengah hari sudah tersedia di rumah sepupu.

Itu, bulan Ogos yang lalu.

Sewaktu menempah penginapan bercuti ke Melaka (lagi) baru-baru ini, saya membelek peta lokasi hotel. Sebaris dengan hotel Muk By Victoria Melaka, ada beberapa tarikan. Ke selatan, tembus ke Jonker Street. Ke utara pula ada kedai putu piring (tutup), dan Mi Bodoh Hasan.

Wah!

Mungkin itu petanda kami harus mencuba.

Hari terakhir di Melaka, kami pun berjalan kaki ke warung terkenal di kalangan netizen. Seawal jam 7.40 pagi kami memulakan langkah, dan sampai saja di lokasi sudah banyak kelibat manusia yang berdiri mencari tempat duduk.

Penuh!

Melihat keadaan begitu, kami ambil keputusan mahu bungkus saja. Ketiak pun sudah lencun, baju sudah masam dek peluh. Patah semangat melihat keadaan yang sesak begini.

Namun, nasib menyebelahi.

Meja yang betul-betul bersebelahan kami, sudah dikosongkan. Meja kecil yang muat untuk 3-4 orang, kami sumbat enam beranak. Lantaklah! Dan terus, kami membuat pesanan.
  1. Pesanan air dan mi, boleh dibuat dari meja saja. Akan ada pramusaji mengambil pesanan.
  2. Sekiranya mahu telur goreng, perlu beratur sendiri di kaunter gorengan.
  3. Mi Bodoh merujuk pada penyediaan mi yang mudah dan ringkas. Seperti percakapan harian, "Alaa.. masak mi bodoh-bodoh je kak Christina Cendana Putri." Bodoh yakni ringkas. Hanya mi dan taugeh.
  4. Cara makannya? Ikutlah kreativiti masing-masing. Mi ada disertakan dengan sambal, dan di atas meja ada disediakan kicap dan cuka. 
  5. Untuk 5 Mi Bodoh, 5 Telur Mata Kerbau, 2 Nescafe Tarik, 1 Teh Tarik, 1 Milo Panas, 1 Air suam; jumlah yang perlu dibayar ialah RM22. Sahaja.
  6. Ada pilihan untuk dibungkus.
  7. Hari Isnin hingga Rabu, kedai dibuka sehingga jam 10 malam.
  8. Warung agak kecil, jadi agak sempit. Mungkin menimbulkan sedikit rasa tidak selesa untuk kanak-kanak orang tua.
  9. Tidak ada ruangan parkir khas, jadi pandai-pandailah cari.

Rasa?

Saya secara peribadi, cukuplah merasa sekali ini sahaja.


Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera

Pagi Di Jalan Tengkera

Berjalan kaki sejauh 650 meter dari hotel ke warung Mi Bodoh Hassan memberi satu pengalaman baru. Memang sudah saya niatkan dari awal lagi, saya mahu menikmati suasana pekan lama yang masih mengekalkan bangunan-bangunan lama. Cuaca pagi itu pun sangat cerah, menambah warna dan rasa teruja.

Cantik benar bangunan-bangunan ini. Teringat saya akan kota Venice, yang masih mengekalkan bangunan-bangunan lama (dan dibaik pulih) lalu menjadi tarikan pelancong. Berada di dalam persekitaran begitu, memang menenangkan.

Ini ada beberapa keping gambar yang sempat saya rakamkan.


Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera Mi Bodoh Hassan Di Tengkera

ITINERARI 3H2M MELAKA BANDARAYA BERSEJARAH
(Senarai lengkap aktiviti selama 3 hari di Melaka, Malaysia)






Reactions

Post a Comment

0 Comments