Luahan Kecil Tentang Travel

Ada yang bertanya, ke mana destinasi terbaik kalau pertama kali mahu melancong ke luar negara?

Ada yang menjawab, eloklah ke Mekah dan Madinah.

Ada yang trigerred, katanya biarlah orang nak pergi ke mana pun. Tak semestinya pergi ke negara lain dulu kita tak ada niat mahu ke sana.

Kemudian bergaduhlah netizen, seperti biasa.

Sebenarnya, saya ok saja dengan saranan untuk pergi ke Mekah dan Madinah dulu. Dan memang itu pun impian saya. Sudah saya tanamkan azam, sebelum travel ke mana-mana negara, memang saya teringin ke Mekah Madinah sama ada melalui haji atau umrah saja.

2012, saya ke sana bersama isteri, kakak dan abang ipar. 

Itu memang impian saya, dan Alhamdulillah makbul diizinkan tuhan. Walaupun sebelum itu passport saya terlebih dahulu di'cop' imigresen Indonesia sebab ke Jakarta atas urusan kerja beberapa kali. Itu lain, kerana semuanya ditanggung pejabat. Pergi umrah, guna duit sendiri.

Sebenarnya ramai orang berimpian ke Mekah, tapi ada halangan-halangan tertentu seperti perempuan bujang yang perlu ditemankan mahram. Ada pula yang masih belum mampu, tapi berpeluang ke luar negara atas urusan kerja, mungkin juga menang pertandingan. Wallahualam.

Yang sudah ke-20 negara melancong dengan duit sendiri tapi tak juga jejak ke tanah suci, itu saya tak tahu. Ada lah sebabnya tu. Siapa kita nak menghukum dan bersangka-sangka. Kita doakan saja mereka dimurahkan rezeki untuk ke sana. Doa yang baik akan berbalik pada kita juga. Kan?

Tapi berniatlah untuk ke sana juga satu hari nanti. Buat umrah, paling tidak. Usahakan bagi mampu. Tak mampu juga, Allah sudah rancangkan yang lain. Yang penting ada niat dan ada usaha.

Melancong, pergilah ke mana pun. Asalkan tahu menjaga diri. Saya sendiri menyimpan impian mahu ke Austria (selepas menonton The Sound Of Music mungkin sekitar tahun 80-an), Alhamdulillah diberi peluang ke sana pada tahu 2017.

Atau, gabungkan saja melancong dan umrah dalam satu pakej. Tahun 2019, saya melancong ke Istanbul kemudian terus menunaikan umrah dari sana.

Impian, niat, rancangan dan usaha perlu bergabung.

Tak perlu dengki, mengejek, memperolok impian orang. Biarlah impiannya setakat mahu mendaki Maragang Hill di Kundasang, atau mandi sungai di Melangkap, Kota Belud. Kecil bagi kita, tapi besar pada dia.

Kita raikan, ok?

Luahan Kecil Tentang Travel






Reactions

Post a Comment

0 Comments