[Ulasan Buku] Leaving Microsoft To Change The World (oleh John Wood)

1/
Buku setebal 468 muka surat ini adalah edisi terjemahan terbitan Jejak Tarbiah. Terjemahan yang baik. Ada juga dua tiga ayat yang sedikit ganjil dan kesalahan ejaan, tapi tak mencacatkan pembacaan secara keseluruhan. Gaya penceritaan pun menarik, tak membosankan. Seperti novel yang baik, kita seolah-olah berada bersama penulis yang ligat ke sana ke sini.

2/
Buku ini catatan John Wood, lelaki yang bersemangat waja mahu mengubah dunia (pendidikan) di negara-negara miskin dan membangun, dengan meninggalkan kemewahan, keselesaan dan pangkat yang dinikmati di Microsoft.

3/
Hanya bermula dengan pelawaan spontan seorang lelaki bernama Puspathi pergi menziarahi sebuah sekolah di Nepal, John nekad untuk membantu dan di situlah titik mula penubuhan Room To Read, sebuah NGO antarabangsa yang mahu membantu pembinaan sekolah dan perpustakaan di Nepal, selanjutnya Vietnam, India, Sri Lanka, Cambodia dan beberapa negara lagi.

4/
John benar-benar memberi komitmen dalam usaha murni ini, sehinggakan banyak pengorbanan masa, tenaga, harta diguna tanpa sebarang balasan material. Peruntukan 10% daripada jumlah dana yang diperoleh oleh NGO, boleh digunakan untuk urusan pentadbiran (gaji, sewa, dll), tapi John memilih untuk meminimumkan penggunaannya sebanyak mungkin. Haih, memang ciri-ciri 'pengurusan Islamik' yang teori, benar-benar dilaksanakan oleh John.

5/
Tak hairanlah Room To Read berjaya berkembang dengan pesat dalam tempoh beberapa tahun saja.

6/
Oh ya, selain sekolah dan perpustakaan, RTR juga mengusahakan biasiswa untuk pelajar perempuan agar mendapat pendidikan yang sewajarnya. Pemahaman bahawa ilmu lebih cepat tersebar (disebabkan hukum biologi wanita melahirkan dan juga peranan wanita dalam membesarkan keluarga) sangat membuka mata. Usaha ini memang serius dan patut disokong.

7/
Selain cerita penubuhan RTR dan usaha mengutip sumbangan, buku ini juga secara tidak langsung memberi inspirasi berdasarkan kisah hidup peribadi John sendiri.

8/
Saya suka dengan perangai John yang suka mencatat (jurnal), dimana saya masih gagal untuk menjadikannya sebagai rutin harian. Mencatat akan membuatkan kita lebih jelas dengan perancangan. 

9/
Dialog antara John dan ayahnya semasa mencari sokongan sebelum meletak jawatan di Microsoft, sangat mengesankan. Ayah John memberi penyataan ringkas, "keutamaan hidup kamu sudah berubah, itu sahaja".

10/
Buku ini mengingatkan saya buku Travelog Haji tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim dan buku Titil Nol oleh Agustinus Wibowo. Buku yang menceritakan perjalanan hidup dan kejadian-kejadian yang memberi makna dalam mencari perubahan atau hala tuju seterusnya.

Sebuah buku yang sangat berbaloi dibaca, dirasai dan difahami untuk mereka yang mahu mencari pengukuhan dalam kehidupan yang lebih bermakna.

[Ulasan Buku] Leaving Microsoft To Change The World (oleh John Wood)


#sharulmembaca

#malaysiamembaca 







Reactions

Post a Comment

0 Comments