[Ulasan Filem] Mat Kilau (2022)

Saya jarang menonton wayang. Kalau pergi pun, selalunya menemankan anak-anak mahu menonton filem-filem yang popular dari luar negeri (seperti Marvels) atau paling tidak, filem Upin Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali. Filem Melayu yang terakhir saya tonton di pawagam, rasanya Hantu Kak Limah.

Kemudian beberapa minggu sebelum ni, kecoh di media sosial tentang filem Mat Kilau. Perbalahan antara keturunan Mat Kilau dengan penerbit filem yang katanya memesong fakta sejarah.

Kata pihak Mat Kilau, banyak fakta yang terpesong. Tak tepat tentang susuk tubuh pahlawan negara itu.

Kata pihak di sini (ataupun sebenarnya bangkangan netizen penyokong pengarah Shamsul Yusof), ini bukan dokumentari. Ini filem, tujuan akhirnya tetaplah wang ringgit. Dan sebenarnya serampang dua mata, mahu memperkenalkan tokoh negara dengan cara yang lebih komersial.

Saya faham hujah keduanya. Masing-masing ada pendapat yang boleh digunapakai. 

Cuma, perbalahan terus menerus siap berkempen untuk memboikot tayangan filem, saya rasa agak keterlaluan. Lihatlah secara besar, apa kesannya tayangan ini kepada rakyat Malaysia. Setakat satu hari tayangan, RM1 juta sudah ditagih daripada penonton Malaysia (atau Melayu) yang mahu kenal siapa Mat Kilau.

Ya, kalau penilaian dilihat dari segi material mungkin kita skeptikal. Tapi harus ingat, bidang perfileman ini bidang menjana wang. Itu tetap menjadi matlamatnya.

Tapi Mat Kilau kini sudah menjadi kata bual hampir semua orang. Mat Kilau sudah mula dikenali. Saya sendiri, sudah 'memulangkan' semula pengetahuan tentang pahlawan negara sesudah menjawab soalan peperiksaan SRP atau SPM dulu. Yang tinggal dalam memori, Mat Kilau pahlawan Pahang menentang penjajah. Itu saja.

Namun lihat kesan kemunculan filem ini. Berderet-deret perkongsian tentang Mat Kilau muncul di media sosial. Sejarah yang tercatat lama dalam buku, dikeluarkan dan membuka mata. 

Oh, Mat Kilau pernah ditembak.

Oh, Mat Kilau berguru dengan ulama Terengganu.

Oh, Mat Kilau pernah mahu dikuburkan ketika nyawa masih bersama badan.

Oh, Mat Kilau bukan saja berjuang di Pahang. Malah sampai ke Terengganu dan Kelantan.

Kita kembali mengenali susur galur perjuangan kemerdekaan tanah Melayu.

Masya-Allah. Impaknya besar amat. 

Tahniah Shamsul. Kejayaan ini bukan kejayaan kecil. 


Ulasan Filem Mat Kilau

1/
Semalam (25 Jun 2022), kami empat beranak menonton filem yang hangat diperkatakan ini. Tanpa meletakkan apa-apa jangkaan dan harapan, saya menonton dengan penuh keterujaan.

2/
Sebaik melihat adegan pembukaan orang kampung ditembak dan dibunuh (lakonan Mubarak Majid dan Ellie Suriati), saya sudah naik semangat. Muzik latar memainkan peranan, dan pergerakan antara plot tak mengendurkan semangat saya. Terus diapi-apikan dengan perasaan dendam kepada penjajah. Terasa asap kemeyan sudah meresap menguasai diri.

3/
Kumpulan penjajah (Syers, Toga dan pembantu Toga) memainkan peranan dengan baik. Jadi meluat, walaupun sesekali saya nampak janggut Syers kejung tak ubah macam patung Kolonel Sanders. Eheh! Ghuram Singh, watak ketua askar Gurkha juga bagus. Cuma lafaz dialog beliau berbunyi sangat Manglish. Dah rasa macam di pejabat. Sama juga dengan si Go Hui.

4/
Adegan silat saya suka. Dushum dushum dia lawan. Kaki kita pun terangkat sama nak tolong tendang. Kepala pun bergegar sikit tengok kamera gegar sana sini. Kah kah kah! Hafiz pun 'naik syeikh', terus minta nak belajar silat. Cuma bab bunyi berlawan tu je tak berapa minat, dan agak ke"Jet Li"an. Dalam banyak-banyak adegan pertarungan (bunyi latar) dalam filem, saya paling suka semasa Dato Michelle Yeoh lawan Zang Ziyi dalam filem Harimau Mencangkung Naga Menyorok (Crouching Tiger, Hidden Dragon).

5/
Watak Mat Kilau lakonan Dato Adi Putra juga mantap. Hafiz kata, Mat Kilau tu tak senyum pun. Ya, saya perasan juga. Watak beliau sangat serius. Dan sebenarnya, dalam filem ini tak ada satu pun adegan yang wataknya tersenyum/ketawa. Geng jahat gelak tu, tak kiralah. Dialog yang dilafazkan nampak "cool", nampak gagah. Sesuai. Keputusan untuk tidak mewujudkan watak "badut", harus dipuji.

6/
Wahid, lakonan Beto memang menjadi. Antara pelakon-pelakon yang ada dalam filem ni, hanya Beto saja yang saya pernah tonton lakonan beliau banyak kali dalam drama. Setia Wahid pada Mat Kilau tak berpenghujung. 

7/
Fattah Amin sebagai Awang, saya tak pernah tonton lakonan dia sebelum ni. Cuma paling ingat, dia ada buat buku "50 kata Fattah Amin" kalau tak silap. Kecoh diperkatakan netizen. Kah kah kah! Patut dia dah boleh re-print jual balik buku ni, dah tengah laku. Watak dia sama bagus macam Adi Putra dan Beto. Ada iras Nordin Ahmad dalam filem Semerah Padi.

8/
Watak Brahim saya lupa nama sebenar pelakonnya. Ok juga, tak canggung. Tapi watak Johan Asari (Yassin) macam tak berapa nak menjadi. Macam try hard. Maaf, saya tergelak sikit pada babak "group hug" tu. Watak perempuan pun tak ramai, ada dua sahaja. Farah Ahmad memang tak kekok, dia pelakon yang baik. Watak Kiah lakonan Zarina Zainudin pun bagus. Cuma bahagian lafaz dialog nampak agak 2022. 

9/
Keseluruhan jalan cerita mudah difahami, tapi ada beberapa bahagian yang buat kita tertanya-tanya bila masa terjadi, atau pun "logik"nya. Bila masa orang kampung setuju nak bergabung? Adegan perang, hanya close up saja kedudukan Syers. Tak nampak secara luas di mana kedudukan mereka.

10/
Ada orang kata, dialognya seperti berceramah. Berulang terlalu kerap. Islam, Melayu. Islam, Melayu. Patutnya "show, dont tell". Saya setuju. Memang berulang. Tapi bagi saya, itu bagus juga. Bila berulang, orang akan ingat. Mungkin itu agendanya, biar orang ingat apa yang mahu diperjuangkan. Dan kesannya, itulah yang disebut-sebut orang selepas menonton filem ini. Persoalannya, kita kata ianya berulang-ulang, tapi ada tak kita ambil kisah dengan apa yang disebut-sebut itu? Yang tersirat, bukan sekadar yang tersurat. Bukan habis setakat di filem, kita fikir juga selepas tamat menonton dua jam itu.

11/
"Show dont tell" ada, cuma tak banyak. Paling saya ingat sewaktu adegan perlawanan di penambang, Mat Kilau memutarkan kepala keris yang tersisip di pinggang ke arah berlawanan. Itu menandakan mod tenang bertukar kepada mod mahu menyerang. Perasan tak tu? Memakai keris pun, ada caranya.

12/
Memang ada bahagian-bahagian yang boleh diperbaiki, kalau mahu. Seperti pakaian pelakonnya yang "segar" seperti baru keluar dari Jakel, walaupun setakat orang kampung. Adegan amukan tentera Gurkha menghumban barang niaga, ternampak ketulan dagin lembu yang dijual seperti kain selimut yang tak dilipat waktu pagi. Eheh!

13/
Dalam cerita-cerita seperti ini (melawan penjajah/musuh), saya masih meletakkan Bukit Kepong di tangga teratas. Saya hampir pasti mengalirkan air mata bila sampai ke adegan anak kecil yang melafazkan dialog "Mak dah mati" kepada ayahnya di bawah kolong. Huish! Sedih.

14/
Secara keseluruhan saya suka dengan jalan cerita, pilihan pelakon, dialog, aksi pertarungan dalam filem Mat Kilau ini. Sesuatu yang segar untuk zaman media sosial. Tidak ada tema cinta, melainkan cinta pada agama, bangsa dan negara. Shamsul Yusof berjaya mengingatkan kembali jati diri umat yang makin lama makin terpesong. Perjuangan Mat Kilau dan rakan-rakan beliau tidak patut dipersiakan.

15/
Tontonlah. Jangan hanya melihat aksi, pelakon dan kesan-kesan teknikal dan visual. Ambil juga ibrahnya. Kerana perjuangan Mat Kilau sebenarnya masih berlanjutan sampai ke hari ini.


Mat Kilau 2022






Reactions

Post a Comment

0 Comments