Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang

"Nak makan daging rusa tak?"

Tanya Nyut Yam. Nyut Sen menurut saja. Nyut Rul? 

Saya bukanlah foodie, entah apa namanya dalam bahasa Melayu. Pemburu makan? Bagi saya makanan hanyalah makanan. Kalau sedap kena dengan selera, saya makan saja. Istilah makanan viral bagai tak terdaftar dalam nafsu.

Daging rusa?

Saya tak ingat sama ada saya pernah makan daging haiwan hutan ini atau tidak. Macam pernah, tapi tak ingat di mana. Rasanya bagaimana pun sudah hilang dalam memori. Lagipun, rusa bukanlah 'pelik' sangat. Sama seperti lembu atau kambing. Boleh lah nak rasa.

Kalau landak atau arnab, mungkin sepantas kilat saya geleng kepala!


Anuar Rusa Steak House Di Felda Gedangsa, Behrang

Jam 3.30 petang kami tiba di tanah felda yang terletak di Hulu Selangor ini. Tuan punya kedai rupanya sahabat sekolah kepada Nyut Yam. Patutlah boleh tahu. Ini pertama kali saya menjejak kaki sejauh ini di Behrang.

Kami memesan Steak Rusa setiap seorang, dan tambahan nasi goreng. Makan tengah hari pada jam 3.30 petang memang bikin kepala berangin. Mujur tak datang penyakit "hipo" saya tu. Kalau tak, menggagau juga nak cari makanan segera.

Sementara menunggu makanan siap, kami berjalan keliling restoran melihat rusa di dalam kandang. Banyak juga. Tapi kata pemilik kedai, bukan rusa ini yang dibuat hidangan. Selalunya rusa dipesan daripada orang lain. Kurang jelas pula sama ada daripada pemburu ataupun pengembala rusa.

Hidangan sampai.

Kami makan penuh tertib.

Rasa daging rusa taklah begitu berbeza dengan daging lembu atau kambing. Tak berbau. Orang kata manis, saya rasa macam tu juga lah. Deria rasa tak peka, macam tu lah. Cuma yang sangat ketara perbezaan yang ada ialah tekstur daging. Tak tahu saya nak huraikan macam mana, tapi setiap kali mengunyah memang lidah dan gigi 'merasa' kelainan tu. Cubalah sendiri.

Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang
Steak Rusa RM28


Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang
Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang
Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang


Bagi saya, setakat mencuba sekali ni cukuplah. Untuk datang lagi, bergantung kalau teringin. Mungkin kesilapan saya memilih menu yang 'menenggelamkan' rasa rusa. Atau mungkin kerana perut masih kenyang dengan laksa, jadi kurang ghairah mahu menikmati.

Tapi jangan pandang sebelah mata kedai Annuar Rusa Steak House ni. Walaupun jauh ke dalam, tetap ramai datang berkunjung. Sewaktu kami ke sana pun, ada segerombolan geng motor baru selesai makan di sini. Yang dari Kuala Lumpur pun sanggup memandu selepas kerja untuk menikmati daging rusa.

Lain orang, lain selera.

Meratah Daging Rusa Di Felda Gedangsa, Behrang






Reactions

Post a Comment

0 Comments