Dari Anuar Rusa Steak House, kami memandu sekitar 30 minit menuju destinasi terakhir Ipoh Trip kami ini. Di Tanjung Malim, kami membelok ke pekan utama mencari Sarang Art Hub, sebuab kafe peninggalan almarhum Mamat Khalid.
Rasanya semua orang kenal sutradara berbakat ini. Kalau pun tidak kenal beliau secara individu, hasil karya beliau memang sudah 'melekat' dalam memori rakyat Malaysia.
Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Man Laksa, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel; itu antara hasil tangan beliau yang menjadi sebutan hingga hari ini. Untuk saya, karya beliau yang pertama saya tonton ialah Jam 2 Petang, lakonan almarhum Hani Mohsein dan Sharifah Haslinda. Suka betul saya menonton drama yang bersifat masyarakat marhaen begitu.
Sarang Art Hub
Kami sampai sewaktu hari menghampiri malam. Ditambah dengan cuaca mendung, persekitaran kafe memang sudah gelap. Selepas parkir kereta, sempat saya ambil beberapa keping gambar di luar kafe. Replika warung Pak Jabit, klinik desa Kg Pisang, penjara orang tak puasa memang menggamit kenangan filem-filem Mamat Khalid.
Kami masuk ke dalam kafe dan tanpa segan silu, jalan-jalan pusing keliling. Banyak prop filem yang digantung menjadi hiasan kafe, dan kami memilih tempat duduk yang dikelilingi poster filem dan juga patung hantu yang sedikit sebanyak, menggerunkan.
Dah senja nak Maghrib, kot. Tambah lagi hujan turun lebat lepas tu. Mahu tak meremang bulu roma ada sang Al-Gojo bergentayangan di belakang dengan sebilah kapak?
Cepat-cepat kami buat pesanan.
Oleh kerana daging rusa masih lagi belum habis dikumuh, kami memesan lempeng kelapa sambal ikan bilis saja. Cukuplah.
Tak. Tak cukup sebenarnya.
Saiz lempeng tu, comel sangat. Sebesar tapak tangan dewasa dibahagi dua. Tapi sedap. Masih panas waktu dihidangkan. Sambal ikan bilis pun licin dibedal.
Heh!
Makan memang tak ada pantang dah sepanjang trip ni.
Habis makan dan berbual-bual, kami pun berangkat pulang. Sempatlah singgah solat di surau dalam kawasan kafe, dan sempat jugalah berjumpa anak arwah Mamat Khalid bernama Amin. Saya tak jumpa, Nyut Yam yang ambil gambar bersama. Saya tak pasti, si Amin inikah yang kata Pak Jabit "asyik menembak aje kerjanya". Heh!
Terima kasih, Mamat Khalid.
Al-Fatihah.
0 Comments