Cerita Coklat Yang Bikin Jatuh Cinta

Coklat dan selonggok Sharulnizam mempunyai hubungan yang sangat intim. Tentulah. Lihat sahaja saiz badan saya yang menceritakan betapa bahagianya hubungan kami.

Kah kah kah!

Bila diimbas semula, waktu kecil saya tidak banyak kenangan dengan coklat. Setakat "Kandos" yang berharga 10 sen sebungkus itu, apalah sangat. Dapat percuma pun, dipandang sepi.

Berlagak betul.

Tapi itulah, memang saya dan coklat sewaktu kecil tidak begitu bersahabat.

Sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi di sebuah kolej di utara tanah air pada pertengahan tahun 90-an.

Kuala Nerang

Kolej saya ini terletak jauh nun di ceruk yang jauh ke pelosok negeri Kedah. Siaran radio pun selalu berebut antara radio Malaysia dan Thailand. Kawasan keliling pun hanyalah ladang getah atau hutan yang berselang-seli dengan kampung tradisional.

Untuk ke bandar terdekat iaitu Alor Setar, kami perlu menaiki bas selama dua jam. Haih! Dua jam untuk masa hari ini, sudah boleh sampai Melaka jika memandu dari Kuala Lumpur. Waktu itu pilihan pengangkutan yang ada hanyalah bas HBR.

Untuk kerap ke Alor Setar, kami bukanlah berduit sangat. Jadi, kebanyakkan masa kami luangkan ke pekan Kuala Nerang. Itu yang paling dekat. Sebagai anak remaja yang meningkat dewasa dan nafsu makan seperti Hantu Raya, motif utama ke pekan tentulah mencari stok makanan dan sebuah cinta nan suci. Eh!

Biskut, sudah jemu.

Roti juga biasa-biasa.

Sehinggalah suatu hari saya menerawang masuk ke dalam pasar raya Yok Seng, terintai-intai di rak makanan. Entah hidayah dari mana, saya berani-berani mahu mencuba sekujur objek bersalut plastik yang bercetak gambar coklat berisikan kekacang dan karamel.



Menggoda betul, gambarnya.

Itulah kali pertama saya berkenalan dengan Snickers. Di pasaraya Yok Seng, di Kuala Nerang.

Di dalam bas MARA dalam perjalanan pulang ke kolej, saya membuka plastik Snickers dengan debaran kencang di dada. Angin Kuala Nerang menderu masuk menerobos tingkap, membuaikan rambut hitam saya menari-nari kegembiraan. Air liur sudah mula berkumpul di bawah lidah. Coklat itu akhirnya muncul dari persembunyian. Saya pejamkan mata, dan secebis Snickers pun dikemam mulut.

Sekeliling menjadi sunyi.

Tiba-tiba, saya dipanah asmara.

Oh Tuhan, inikah namanya cinta?

Sedapnya ya Allah, bergetar tulang selangka saya menahan rasa manis dalam setiap gigitan. Tidak sampai 10 minit, tamatlah kehidupan sebuah Snickers yang baik hati itu. Terkorban demi sebuah cinta lelaki yang kelaparan.



Sejak hari itu, saya terus setia dengan Snickers.

Walaupun sudah 24 tahun berlalu, tidak pernah saya curang dengan Snickers.

Eh, tak. Saya tipu. Coklat lain pun saya makan juga. Eheh!

Tapi Snickers, tetap menjadi pujaan.


#julyblogposts #july2019entries

Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.








0 comments:

Post a Comment

My Instagram