Menyegarkan Badan Di Air Terjun Lopo / Lepoh, Hulu Langat

Air Terjun Lopo, Hulu Langat

Saya memang sudah lama kegatalan.

Ya.

Gatal. Merenyam-renyam.

Gatal kerana mahu menginjak kaki ke hutan. Gatal mahu membenamkan badan ke dalam sungai yang mengalir sejuk. Gatal mahu menghirup udara yang segar di dalam hutan.

Dan ajakan kakak saya (dan keluarga suaminya) untuk mendaki ke Gunung Lopo, tidaklah saya berfikir panjang.

Setuju!

Dan kali ini, dua anak dara saya pun turut serta. Sebelas tahun dan sembilan tahun. Yang sibujang, ada perkhemahan kadet di sekolah.

Berulang kali saya tanyakan kepada dua puteri ini, terutamanya Nur Hanis. Ini kali pertama dia mahu ke hutan. Mendaki gunung pula. Tetapi katanya, tak menjadi hal. Hanya pacat sahaja yang menjadi isu yang paling menyeramkan, katanya.

Gunung Lopo / Lepoh

Tidaklah saya tahu akan gunung ini sehinggalah diberitahu kakak. Letaknya di Hulu Langat, Selangor. Saya hanya tahu Gunung Nuang (hanya bersebelahan) dan pernah mencuba untuk mendaki gunung Nuang sekitar tahun 2000. Gagal.

Jadi, ini ulangan yang mahu dijayakan.

Ahad, 17 Januari 2016.

Kami bertolak dari rumah sekitar jam 7.00 pagi. Sempat juga bersarapan mengisi perut. Sudah dipesan kepada anak-anak, makan biar kenyang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam juga, melalui jalan pintas di Ampang tembus terus di Pekan Batu 14, Langat. Dari Bukit Ampang, kami sudah teruja melihat kawasan hijau bergunung-ganang yang masih lena diselimut kabus pagi. 


Cantik betul!

Perlu berhati-hati untuk menuju ke tapak permulaan pendakian. Jalan semakin sempit dan simpangnya boleh terlepas jika tidak biasa dengan jalannya.


Simpang ke kiri menuju ke Air Terjun Lopo /Lepoh


Parkir dan Bayaran

Kami antara awal yang tiba, jadi tidak ada masalah untuk mendapatkan parkir. Bayaran dikenakan sebanyak RM3 sebuah kereta kepada pakcik-pakcik yang sudah sedia menunggu di situ. Dari simpang utama, terus sahaja sampai ke penghujung jalan. Sebelum itu akan melalui kawasan perkampungan (lebih kepada chalet dan resort) yang agak mengejutkan saya kerana bilangan pengunjung yang ada di situ agak ramai. Tempat ini sudah lama terkenal barangkali, cuma saya saja yang tidak tahu.

Selepas menyiapkan barang-barang keperluan (dan juga bayaran RM1 sekepala), kami memulakan perjalanan.

Air Terjun Lepoh Asli Adventure Base Camp Dah tak sabar mandi sungai Trek permulaan ke Air Terjun Lepoh

Trek

Trek untuk ke air terjun, agak mudah. Itu dari segi arah tujunya. Trek yang ada sudah terang dan membentuk denai yang sangat kecil risikonya untuk sesat. Dari bawah hingga ke atas, ikut saja jalan yang tersedia ada. Kalau sudah biasa dengan hutan, mungkin tidak perlu diupah "malim gunung" yang sedia memberi khidmat.

Sediakan sahaja ongkosnya.

Cabaran? Ya. Cabarannya memang ada. Hampir keseluruhan jalannya mendaki, sedikit sangat yang landai. Kakak Nur Hanim dalam 15 minit yang pertama sudah kepenatan. Sangat penat sampai terpaksa berhenti beberapa kali. Ada satu bahagian, kecerunanannya saya fikir hampir 70 darjah, dan perlu melalui selirat akar pokok yang membentuk laluan seperti tangga.

Penatnya? Ya Tuhan. Banyak kali terhenti. Maklumlah, berat terlebih muatan!


Rehat di trek ke Air Terjun Lepoh Trek ke Air Terjun Lepoh 1 Trek ke Air Terjun Lepoh 2 Trek ke Air Terjun Lepoh 3

Air Terjun

Selepas hampir dua jam mengerah tenaga, bunyi deru air terjun yang mengimbau-imbau menaikkan semangat kami, terutamanya anak-anak. Namun sedikit kecewa, kerana kawasan air terjun penuh dengan orang ramai. Kami dimaklumkan, dua kumpulan anak-anak muda berjumlah hampir 40 orang mendahului kami dari awal lagi. Jadi kami tidak dapat ke air terjun utama, terpaksa menghilir ke bawah sedikit.

Puas bermandi-manda, abang ipar sudah beri isyarat mahu turun. Saya pula bergegas ke air terjun utama kerana kebetulan rombongan besar tadi sudah beransur turun. Sempatlah mengambil gambar dan menonton aksi-aksi pengunjung air terjun yang menggelongsor turun dari tingkat atas air terjun. Kalau berani menanggung risiko, buatlah.

Air Terjun Lepoh, Hulu Langat Air Terjun Lepoh, Hulu Langat 1 Air Terjun Lepoh, Hulu Langat 2 Air Terjun Lepoh, Hulu Langat 4 Air Terjun Lepoh, Hulu Langat 5

Pulang

Seperti biasa, perjalanan menurun sudah tentu lebih cepat berbanding semasa menaik. Namun tetap perlu berhati-hati, malahan dipertingkatkan dua kali ganda. Kami sempat berselisih dengan beberapa orang lagi yang baru mula mendaki ketika waktu Zohor sudahpun menghampiri. Kalau saya, jarang sekali (ataupun tak pernah) memulakan perjalanan ke dalam hutan selewat begitu. Tambahan lagi dengan anak-anak.

Sewaktu turun ini, kami berselisih dengan kumpulan kecil yang juga dalam perjalanan turun. Salah seorang rakan mereka terjatuh dan kakinya terseliuh. Mujur sudah dekat dengan kawasan kampung dan laluan itu agak besar untuk dilalui motorsikal. Kalau tidak, susah juga mahu memapah turun.

Sampai di tapak parkir, anak-anak menyambung lagi sesi bermandi-manda, sementara saya melepaskan lelah berdekatan.

Penat.

Tetapi berbaloi.

Datang lagi?

Sudah tentu.

Trek Air Terjun Lepoh, Hulu Langat

Secara ringkasnya;
  1. Kos yang perlu dibayar; 
    1. RM 3; parkir sebuah kereta
    2. RM 1; yuran per kepala
    3. RM 0.50; untuk menggunakan tandas
  2. Jarak perjalanan; 7 KM (melalui catatan aplikasi Endomondo)
  3. Pakaian yang bersesuaian, terutamanya kasut.
  4. Sediakan makanan dan air (yang memberi tenaga) secukupnya.


Video

Sebelum berundur diri, ini video yang tak seberapa daripada saya.

 








Reactions

Post a Comment

4 Comments

  1. nak tnya..air terjun ni bole masuk bile2 mase ke? atau ade wktu-wktu tertentu sahaja?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak pasti. Kami hari tu terus pergi je.

      Delete
    2. kami ada masuk haritu.. then penjaga yg kt bawah tu ckp. atas pukul 12pm dorg xbagi naik dah..

      Delete
    3. Terima kasih Julia. Kami pun bercadang-cadang nak ulang lagi ke sana

      Delete