Kertas-kertas Yang Merubah Fikir

Buku Bercakap Dengan Jin itu tak terlepas dari tangan. Dari pagi membawa ke malam, saya khayal dengan cerita pengembaraan Tamar Jalis dengan datuknya.

"Masalah" dengan membaca ni, fikiran kita liar membayangkan setiap adegan yang ditulis. Kalau di dapur, yang kita nampak ialah dapur rumah kita sendiri. Kalau laman, yang jelas ialah laman rumah sendiri. Atau lebih nampak real, bayangan rumah datuk di kampung.

Seram!

Tapi tetap juga buku tak lepas dari pegangan. Selagi rumah belum gelap, selagi itulah setiap helaian buku dibelek.

Dan waktu yang mendebarkan pun muncul. Sedar-sedar rumah sudah senyap sunyi dan bunyi cengkerik meriah di luar. Masa itulah pundi kencing menggelinyang mahu membuang sisa kumuhan.

Alamak!

Walaupun bilik air masih di dalam rumah, tapi dengan imaginasi yang sarat di kepala memang bikin jantung mahu tercopot keluar dek lajunya berdegup.

Zasss!

Sepantas kilat melunaskan hajat, secepat itulah kembali ke katil dan berselubung dalam selimut. Hujung kaki pun mesti ditutup, sebab terbayang wajah sahabat Bachok datang mahu minta "makan".

Hoi, seram bukan main!


Tidurlah Intan

Itulah pengalaman saya sekitar pertengahan tahun 80-an dulu. Aktiviti membaca saya secara "serius" bermula dengan buku seram yang terkenal satu Malaysia. 

Asalnya saya membaca majalah Variasari milik makcik di sebelah rumah. Ruangan Bercakap Dengan Jin memang ditunggu-tunggu setiap keluaran. Apabila makcik saya mula membeli buku berjilid BDJ (juga Berkelahi Dengan Syaitan, karya Tok Awang Ngah), minat membaca bagai dibaja-baja.

Saya fikir, di situlah titik mula minat saya dengan hobi membaca. Seawal zaman sekolah rendah.

Kalau di rumah, sumber bacaan saya agak terhad. Yang boleh dibaca hanyalah surat khabar yang abah saya beli setiap kali pulang dari kerja. Habis dibaca segenap ruang, kadang-kadang saya berduet dengan mak menyelesaikan teka silang kata yang ada. Tanpa kamus, kami hanya mengagak-agak asal kena jumlah huruf dalam ejaan. Heh! Manisnya kenangan dengan mak.

Waktu sekolah rendah, pilihan lain yang ada hanyalah dari perpustakaan. Antara kegemaran saya waktu itu ialah buku bersiri Tidurlah Intan. Kisah burung garuda menyerang kampung, kisah anak raja yang disumpah ibu tiri, kisah puteri raja yang disiksa dan macam-macam lagi kisah yang bernuansakan alam melayu. Khayal jadinya!


Alam Remaja Alam Cinta

Masuk sekolah menengah, bahan bacaan saya mula berubah. Majalah hiburan seperti URTV mula menyelit masuk ke dalam rumah. Apatah lagi dekad 90-an zaman kehidupan glamor artis mula menjadi tatapan orang ramai. Kakak-kakak saya ada buku khas (buku skrap) penuh dengan tampalan wajah artis (Awie lah yang paling banyak) dan lirik-lirik lagu. Abang saya pula membawa masuk majalah Gila-gila dan kemudiannya Ujang.

Seronok betul. Ya lah, bahan bacaan yang lebih berwarna-warni. 

Kemudian saya menghadiri tuisyen di Institut Hasni di Chow Kit. Saya sudah pandai ke Kuala Lumpur menaiki bas. Sesekali saya lajak ke Jalan TAR, dan mula berkenalan dengan kedai buku di sana. Saya lupa namanya, kalau tak silap Minerva. Ada dua buah kedai yang sering jadi kunjungan waktu itu. Selain mencari buku rujukan sekolah, saya selitkan juga dengan novel-novel yang hangat di pasaran.

Tentulah terbitan Creative Enterprise yang jadi pilihan. Buku-buku cinta. Kah kah kah! Kakak saya juga pembaca novel yang tegar, saya sekali lagi menumpang membaca. Novel yang saya beli, lebih bersifat "berani" seperti tulisan Ahadiat Akashah.  Sorok juga kadang-kadang tu.

Masuk ke sekolah berasrama penuh, sekali lagi bacaan saya bertukar. Tidak ada lagi novel romantis, tapi beralih kepada komik Pedang Setiawan, Juara-juara Kembar dan macam-macam lagi.

Haih!

Bermula dari umur 16 tahun sehinggalah tamat universiti, komik dan majalah Ujang saja yang saya baca.

Sebenarnya, dah kahwin pun masih lagi membaca komik.


Zaman Akademi Fantasia Tidak Ada Lagi Membaca

Saya berkahwin pada tahun 2002, dan direzekikan anak pertama pada tahun 2003. Dan saya rasa, sejak berkeluarga saya sudah berhenti membaca. Apa jenis bacaan sekali pun. Sibuk membina kerjaya dan fokus kepada kehidupan bersama anak dan isteri. Kalau tak silap, buku bacaan saya terakhir waktu itu ialah The Hobbit, ketika filem Lord Of The Rings menjadi bualan hangat di seluruh dunia.

Sayang.

Hampir 10 tahun selepas itu saya hilang dari radar sehinggalah pada suatu hari, semangat membaca itu terbit kembali.

Oh ya! Waktu itu rancangan realiti Akademi Fantasia menjadi ikutan ramai orang. Saya juga, mujur setakat tahun kemenangan Mawi saja. Selepas itu saya berjaya melepaskan diri dari dibelenggu depan tv. Kah kah kah!


Ketika Cinta Bertasbih

Suatu hari, entah apa tujuannya saya dan rakan-rakan sekerja pergi makan tengah hari di sebuah mall di Cheras. Sementara kawan menguruskan hal dia, saya merayau di dalam mall dan terjumpa sebuah kedai buku. 

Ketika Cinta Bertasbih, tulisan Habiburrahman El Shirazy dari Indonesia. Dua buah buku bergabung menjadi satu dan saiznya agak besar. Saya jadi teruja. Tak tahu kenapa. Tanpa berbasa-basi, buku tebal itu saya bawa pulang dan sejak hari itu sehingga hari ini, semangat membaca saya menjulang tinggi.

Kertas-kertas Yang Merubah Fikir


Buku Indonesia

Saya mula mencari buku sebagai hiburan baru. Begitulah agaknya bila cinta lama berputik kembali, saya rakus membeli mana-mana buku yang saya fikir patut dibeli. Misalnya, buku yang tajuknya sedap. Atau kulit depan yang memikat. Atau buku yang ramai orang beli. 

Beli, beli dan beli.

Ya, boros.

Dan saya tak meyesal kerana antara yang saya jumpa waktu itu ialah tetralogi Laskar Pelangi. Saya menonton filemnya terlebih dahulu, kemudian barulah saya baca buku-buku Andrea Hirata yang diterbitkan semula oleh PTS.

Membaca buku Andrea Hirata menjadikan kau angau dengan setiap bait ayatnya. Laskar Pelangi sangat dekat di hati. Pertama kali saya membaca buku yang fiksinya bercampur realiti.

Saya jadi mahu ke Belitong!

Itu juga menjadi kenyataan. Tahun 2013 saya ke sana bersama tiga rakan buku yang juga sama teruja. Berjumpa dengan Ibu Mus, watak yang memang wujud di alam realiti menjadi bonus paling besar kepada kami.

Alhamdulillah. 

Saya fikir, semenjak hari itu saya semakin akrab dengan buku dari tanah seberang ini. Sudah beberapa kali kami merentas Laut China Selatan, semata-mata mahu memburu buku. Koleksi buku Indonesia di atas rak bukan saja dari hasil tangan Andrea Hirata mahupun HAMKA, ramai lagi penulis dengan cerita-cerita yang lebih seru menjadi khazanah mahal saya.


Buku Malaysia Tak Bagus

Kalau ada kenyataan begitu, saya kira hati kita belum besar sebagai seorang pembaca. Buku yang bagus ada di mana-mana,  di serata dunia. Dan buku yang bagus bagi saya, tak semestinya bagus untuk orang lain. Jadi, bagaimana kita mahu menilai buku itu bagus atau tidak?

Untuk saya, buku sebegini tidak akan saya beli;

  1. Bahasa tunggang-langgang. 
  2. Tidak ada jalan cerita. 
  3. Buku influencer yang hanya bijak mengambil peluang menerbitkan buku (sebab ada follower sebagai lubuk duit), tapi hasil karyanya buruk. Ini berbeza dengan influencer yang asalnya memang penulis buku. 
  4. Buku cinta. Jangan salah anggap, bukan zaman saya lagi untuk membaca novel cinta. Melainkan kisah cinta seperti Athirah atau Bidadari-bidadari Syurga yang bersifat kekeluargaan.

Buku yang bagus tidak ada kaitan dengan negara asalnya. Buku bagus ada di mana-mana. Tinggal kita saja yang perlu mencari.

Dan berkongsi.


Kertas-kertas Yang Merubah Fikir 

Membaca adalah satu pengembaraan. Semakin banyak membaca, semakin jauh kita meneroka bumi Allah ini. Saya sudah "sampai" banyak negara di dunia melalui buku-buku travel, walaupun passport saya hanya ada cop daripada 12 buah negara.

Membaca itu menggalakkan kita berfantasi, berimaginasi. Seronok. Berada di alam luar nyata membawa ketenangan dan sangat indah. Bebas.

Dan membaca juga memberi peringatan kepada kita tentang realiti kehidupan. Sejarah lampau boleh dijadikan ikhtibar, kisah kehidupan yang terkait dengan perintah Allah banyak untuk dijadikan panduan.

Membaca tidak bosan, kawan.

Pilih genre mana yang berkenan, dan jadikan membaca sebagai sahabat yang paling akrab. Kau takkan tahu, bagaimana kertas-kertas yang bercetak dakwat hitam itu bisa merubah fikir pada kehidupan. 

Insya-allah. 







Reactions

Post a Comment

0 Comments