Dia Yang Lari Dengan Gagah Berani

Tuut tuut!

"Hello?"

"Yo."

Tengah hari itu, saya mendapat panggilan dari Kak Wati, kakak saya nombor dua. Saya ketika itu berada di dalam pejabat, segera keluar untuk menjawab panggilan. Ruang pejabat kami waktu itu kecil sahaja, jadi sebarang perbualan boleh didengari oleh tujuh pasang telinga termasuk boss.

"Napa kak?"

"Jam, kau balik sekarang. Bibik (pembantu rumah) kau dah lari!"

"Hah!"

Saya kelu. Bibik lari? Anak-anak saya bagaimana? Ah! Ini bikin marah. Saya terkocoh-kocoh masuk semula ke dalam pejabat, minta izin daripada puan boss untuk segera pulang.

Tiga permata hati kami di tahun 2009

Alhamdulillah.

Ketiga-tiga anak saya semuanya ada, sihat walafiat.

Kisahnya tengah hari itu, anak saya Haris dan Hanim pulang dari sekolah. Sepatutnya bibik menyambut, tetapi pintu tak terbuka. Mujur mereka dipanjangkan akal, mereka memanggil kakak saya di rumah sebelah. Katanya tak ada orang di rumah.

Kak Wati turut memanggil, dan menyiasat.

Sah! Bibik memang tidak ada di rumah. Sudah lari.

Waktu Kak Wati menceritakan ini, saya betul-betul marah. Mujur saja perempuan tidak berakal itu tak ada di depan mata. Tangan sudah saya genggam menahan amuk.

Kasihan pada Haris dan Hanim. Tetapi Hanis, anak ketiga saya macam mana? Hanis saya, baru berumur dua tahun ketika itu. Kecil sangat.

Allahu.

Kata Kak Wati, Hanis ditinggalkan dalam buai sedang tidur. Satu kelegaan besar buat saya, kerana hati bagai nak gila takut Hanis diapa-apakan. Dibawa lari, misalnya.

Nauzubillah.

Marah saya memang tak terluah lagi. Berani betul perempuan itu buat anak-anak saya begitu. Ada dua doa saya ketika itu; biar saya jumpa si bibik itu dan mengajarnya, atau langsung jangan dijumpai kerana takut saya hilang akal berdepan dengan dia nanti.

Itu, kali pertama dan terakhir kami mengupah pembantu rumah.

Bibik yang lari itu, rupanya sudah ada jantan yang menunggu. Sanggup dia tinggalkan semua barang-barang peribadi termasuk wang, kerana sudah kemaruk mahu berlaki.

Penipu. Kami memang minta dari ajensi pembantu rumah yang masih berkahwin sahaja untuk berkerja dengan kami. Tahu-tahu, kataya selepas tiga bulan bersama kami, statusnya sudah lama menjanda.

Patutlah menjadi birah.

Geram!

Tiap kali mengingatkan peristiwa ini, hati saya menjadi sakit. Terkenangkan nasib anak-anak yang ditinggalkan.

Berdoalah, wahai bibik yang pendek akal.

Semoga kita tak bertemu lagi!


Nota; Ikuti entri saya bersempena cabaran Catatan Bulan Julai yang dimulakan oleh Cik Puan Norsa'adah Ahmad. Terima kasih kerana sudi membaca.

#julyblogposts #july2019entries

Topik hari #23 : LARI






Reactions

Post a Comment

0 Comments